Air Mentah Selangor Disabotaj Lagi

Shah Alam – Kerajaan negeri sekali lagi terpaksa berdepan dengan tindakan sabotaj oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap usaha kerajaan negeri memastikan bekalan air mentah yang cukup sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi, sekitar jam 2.30 pagi semalam, pasukan yang bertugas di tempat pengepaman air telah mengesan 6 buah ‘powerpack’ pam yang berfungsi untuk mengalihkan air ke kolam telah dirosakkan dan kesemua kabel pada pam berkenaan telah dipotong.

Walaupun begitu, tindakan sabotaj ini tidak mengganggu bekalan air mentah ke loji rawatan air. Para pengguna tidak perlu khuatir kerana tindakan sabotaj ini sama sekali tidak menjejaskan bekalan air terawat kepada semua pengguna.

“Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada pasukan bertugas yang telah mengambil tindakan pantas untuk memastikan kerosakan ini tidak berlarutan dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengatasi perbuatan khianat ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya lagi, setelah itu satu laporan polis telah dibuat pada 27 Julai atas insiden sabotaj yang berlaku sebelum ini dan pada hari ini, satu lagi laporan polis telah dibuat.

“Kerajaan negeri menuntut agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas untuk meningkatkan keselamatan di kawasan berkenaan dan melakukan siasatan secepat mungkin agar insiden sebegini tidak berulang,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.