KUALA LUMPUR, – Pengendali pusat data di Malaysia kini berdepan tekanan besar susulan pelaksanaan tarif elektrik baharu yang lebih tinggi dan rumit, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap daya saing negara sebagai hab pelaburan digital serantau.
Menurut laporan agensi berita Reuters, kenaikan tarif kuasa yang berkuat kuasa bermula Selasa lalu dilaporkan lebih tinggi daripada jangkaan awal dengan anggaran peningkatan antara 10 hingga 14% bagi pengguna industri berintensiti tinggi seperti pusat data.
Malaysia sebelum ini menjadi destinasi pilihan syarikat teknologi global termasuk Microsoft dan Google, disebabkan kadar elektrik yang kompetitif dan kestabilan grid kuasa, berbanding negara jiran seperti Singapura yang kekurangan tanah dan lebih mahal dari segi tenaga.
Namun, struktur tarif baharu yang diperkenalkan melalui sistem harga berperingkat menimbulkan ketidaktentuan. Kebanyakan pusat data utama dijangka diklasifikasikan di bawah kategori “voltan ultra tinggi”, sekali gus dikenakan kadar tertinggi dalam sistem baharu ini.
“Bagi kemudahan berskala 100 megawatt, peningkatan ini boleh mencecah tambahan antara RM70 juta ke RM90 juta setahun belum termasuk surcaj bahan api,” kata Gary Goh, pengasas Sprint DC Consulting.
Surcaj bahan api itu pula akan diumumkan secara bulanan, bergantung kepada perubahan harga bahan api dan kadar pertukaran asing. Untuk bulan ini, surcaj ditetapkan pada kadar sifar, menurut Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Mengulas kesan jangka panjang, laporan bersama firma Bain & Co, Google dan Temasek pada Mei lalu menjangkakan permintaan tenaga daripada pusat data di Malaysia akan melonjak kepada 21% menjelang 2027, berbanding hanya 7% pada tahun 2022 kadar tertinggi di Asia Tenggara.
Kebimbangan Pemain Industri
Pengarah Urusan Equinix Malaysia, Cheam Tat Inn, berkata struktur tarif baharu akan menyebabkan pusat data berskala besar menanggung kos lebih tinggi dalam pengurusan grid berbanding syarikat yang lebih kecil.
“Jika anda pengendali pusat data besar, anda akan menanggung beban kos infrastruktur pengedaran yang lebih besar,” ujarnya.
Cheam turut mendedahkan bahawa Equinix yang mengendalikan dua pusat data di Malaysia sedang mempertimbangkan alternatif tenaga yang lain sebagai langkah mitigasi terhadap kenaikan kos.
Ketika diminta mengulas, TNB tidak memberikan kenyataan lanjut dan merujuk soalan media kepada Suruhanjaya Tenaga Malaysia yang setakat ini belum memberikan maklum balas. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun sebelum ini mempertahankan langkah penstrukturan tarif sebagai usaha meningkatkan perbelanjaan sosial negara.
Pelabur Mula ‘Tunggu dan Lihat’
Presiden Persatuan Pusat Data Malaysia, Mahadhir Aziz, turut mengingatkan bahawa ketidakpastian tarif dan peningkatan mendadak ini boleh menyebabkan pelabur digital beralih ke pasaran alternatif seperti Vietnam dan Thailand.
“Kerajaan perlu melihat isu ini dengan lebih serius, sekurang-kurangnya pada tahap serantau,” katanya.
“Walaupun pusat data telah melabur dalam tanah dan infrastruktur, mereka masih berpeluang menilai semula keputusan pelaburan.”