Dr Mahathir Gugur Tuntutan Pulau Batu Puteh Tanpa Rujuk Kabinet – Apandi

PETALING JAYA – Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan menarik balik tuntutan Malaysia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi penghakiman yang memberi kedaulatan Pedra Branca (Pulau Batu Puteh) kepada Singapura pada 2008 tanpa membuat rujukan, kata bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali dalam komen yang dikongsi Najib Razak di Facebooknya.

Apandi berkata keputusan itu dibuat semasa beliau diarahkan bercuti, beberapa hari selepas perubahan kerajaan pada 9 Mei.

“Semasa saya berada dalam cuti Tun Mahathir buat keputusan untuk tarik balik kes rujukan di ICJ itu tanpa rujukan kepada saya atau pun Kabinet. Pada masa itu semua pasukan peguam, termasuk beberapa orang QC bersiap sedia untuk berhujah di The Hague,” kata Apandi.

Beliau memberi maklum balas kepada komen Najib di Facebook yang menuduh Pakatan Harapan tidak konsisten dalam pendiriannya ke atas Pedra Branca, yang mana Malaysia merujuknya sebagai Pulau Batu Puteh.

Kurang 3 minggu selepas pilihan raya umum ke-14, ICJ berkata Malaysia dalam surat bertarikh 28 Mei memberitahu ia bersetuju menghentikan prosiding mencabar keputusannya ke atas pulau kecil di luar Johor itu.

Akibatnya, pendengaran yang dijadualkan bermula pada 11 Jun dibatalkan.

Malaysia mengemukakan cabaran pada 2017, berdasarkan apa yang dikatakannya adalah dokumen baru yang ditemui dalam arkib British untuk menyokong tuntutannya ke atas Pedra Branca.

Dalam keputusan pada 2008, ICJ menyerahkan pulau berukuran separuh padang bola sepak itu kepada Singapura.

Semalam, Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya memberitahu Dewan Rakyat bahawa Putrajaya akan mengemukakan semakan kehakiman berhubung kedaulatan Batu Puteh dan 2 pulau lain – Batuan Tengah dan Tubir Selatan – di ICJ.

Mahkamah memutuskan kedaulatan Tubir Selatan akan ditentukan kedua-dua negara dalam rundingan berhubung sempadan perairan masing-masing.

Apandi berkata keputusan penarikan kes itu bermakna Malaysia “kehilangan kedaulatannya ke Pulau Batu Putih selama-lamanya”.

“Sungguh sedih sekali. Apakan daya itu keputusan orang yang berkuasa,” tulisnya.

Apandi diarahkan bercuti hanya beberapa hari selepas PRU14 apabila kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan penyiasatan terhadap pegawai awam yang berkhidmat di bawah pentadbiran Najib.

Pada Jun 2018, beliau digantikan oleh Tommy Thomas. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.