Majlis Peguam Pertikai Campur Tangan dan Kuasa Pasukan Petugas Khas Tahan Najib

Presiden Majlis Peguam George Varughese berkata pihaknya rasa “terganggu” dengan kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Petugas Khas 1MDB yang mengumumkan penahanan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak petang tadi.

“Majlis Peguam terkejut dan rasa terganggu dengan kenyataan media yang dikeluarkan hari ini oleh Pasukan Petugas Khas 1MDB yang mengumumkan Najib ditahan pukul 2.35 petang tadi berhubung SRC International Sdn Bhd dan bekas perdana menteri itu akan didakwa di mahkamah 8.30 pagi esok.

“Pasukan petugas khas itu tidak ada kuasa undang-undang untuk menahan Najib. Sebarang penahanan hanya boleh dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis.

Pasukan petugas khas itu juga tidak ada kuasa menentukan sama ada Najib akan didakwa esok, kata Varughese dalam kenyataan hari ini.

Pasukan petugas khas berkenaan terdiri daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas timbalan pengarah cawangan khas Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Bador.

Varughese berkata, tindakan Pasukan Petugas Khas 1MDB itu menimbulkan beberapa persoalan.

“Adakah pasukan petugas khas mempunyai kuasa undang-undang untuk mengarahkan penahanan Najib? Dan adakah pasukan petugas khas itu mempunyai kuasa mendakwa Najib?” katanya.

Najib dibawa SPRM petang tadi dari rumahnya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Susulan itu, Pasukan Petugas Khas 1MDB mengeluarkan kenyataan mengesahkan penahanan Najib. – Malaysiakini

One thought on “Majlis Peguam Pertikai Campur Tangan dan Kuasa Pasukan Petugas Khas Tahan Najib

  • July 4, 2018 at 1:25 am
    Permalink

    zaman ni ramai sgt nak jadi wakil rakyat komen sana komen sini…. kepuh kecuh bawang lebih…. nak tunjuk lagak pandai sangat? apa yg korang sibuk2 sgt ….? dah tangkap biarlah…apa korang nak masuk sama ke? nak share salahlaku dia?

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.