Tawar Rasuah RM1,000 Kena Denda RM10,000

Tindakan seorang lelaki yang cuba memberi rasuah RM1,000 kepada anggota polis membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz turut memerintahkan tertuduh, Amir Khairi Hirman Mansor, 22, yang mengaku bersalah atas tuduhan tersebut, dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh yang bekerja sendiri, didakwa memberi wang tersebut kepada Koperal Carsten Wilson sebagai dorongan untuk melepaskannya daripada ditahan setelah hasil ujian air kencing menunjukkan tertuduh positif dadah jenis methamphetamine.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Manir Kuala Terengganu pada 10 Feb 2016, kira-kira 2.55 petang.

Bagi kesalahan itu, Amir Khairi Hirman didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimun penjara 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.