Siapa DAP Nak Tentukan Calon MB Kelantan?

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz membidas DAP sebagai tidak layak untuk menentukan siapa bakal menjadi menteri besar Kelantan jika berjaya memenangi pilihan raya umum ke-14 nanti.

Nik Mohamad Abduh berkata tindakan DAP yang suka membuat keputusan sesuka hati sudah diketahui Pas sejak dahulu lagi, malah ia juga menjadi punca parti Islam itu enggan bekerjasama dengan mereka lagi.

“Itulah sikap sebenar DAP yang Pas sudah lama fahami, jadi sebab itulah kita berpisah dengan mereka kerana kita tahu DAP ini bila merasakan dia kuat, dia akan menguasai yang lain.

“Kalaulah DAP saling menghormati parti-parti lain, dia tidak sewenangnya untuk menentukan mana-mana parti yang layak menjadi menteri besar,” kata Nik Mohamad Abduh yang dipetik semasa majlis terbuka di Kelantan semalam.

Menurut beliau, sikap pimpinan DAP itu juga menunjukkan kelemahan Pakatan Harapan yang dilihat tidak sepakat dan mahu bersaing sesama sendiri.

“Sekarang Pakatan Harapan dilihat sering bersaing untuk berada di depan, bagi saya, kalau mereka terus dengan sikap ini, masih tidak sesuai untuk mereka menggantikan BN (Barisan Nasional),” katanya.

Terdahulu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam ceramah Pakatan Harapan di Dewan Perniagaan Cina di Kelantan menamakan Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Husam Musa sebagai menteri besar jika pakatan itu menang pada pilihan raya akan datang.

Kit Siang menyifatkan Husam adalah calon sesuai dengan ketokohannya untuk mengetuai Kelantan setelah ketiadaan Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.