Polis Digesa Kesan Pengguna Facebook ‘Catt Ginger’ Hina Agong

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa mengesan dan menahan seorang pengguna Facebook yang bersikap biadab menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Muhammad V di laman sosial, baru-baru ini.

Pengguna Facebook terbabit menggunakan nama Catt Ginger dilihat bertindak kurang ajar dengan memuat naik gambar Sultan Muhammad V yang telah disunting pada bahagian hidung seolah menyerupai wajah khinzir.

Gambar terbabit disertakan di ruangan komen dipercayai di laman sosial bersama catatan, “Selamat Hari Raya” pada 25 Jun lalu, yang merupakan hari pertama umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Status tersebut menjadi tular di laman sosial sejak semalam termasuk dikongsi seorang pengguna Twitter @MuzaffarIna1 yang memuat naik ‘screen shot’ status berunsur penghinaan itu menggesa supaya pihak berkuasa menangkap individu terbabit.

“Harap cari dia ni hingga ke lubang cacing! @PDRMsia @KBAB51,” demikian tulisnya, hari ini.

Status berkenaan turut mendapat perhatian dan di ‘retweet’ oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mengecam keras tindakan individu terbabit.

“Jika ini dilakukan oleh warga yang biadab, patut dinyah keluar dari negara ini,” demikian menurut Musa di entrinya.

Rata-rata netizen meluahkan perasaan marah terhadap tindakan individu terbabit dan menggesa hukuman tegas diambil termasuk melucutkan status sebagai warganegara Malaysia.

Semakan di laman sosial mendapati laman Facebook Catt Ginger tidak lagi aktif. Namun, individu terbabit pada 1 Julai lalu memuat naik kenyataan di laman Facebook menafikan bahawa dia menghina Sultan Muhammad V.

“Imej di atas bukan daripada saya. Seseorang telah mengodam akaun Facebook saya. Sekarang saya melaporkan kepada polis dan SKMM,” demikian menurutnya.

Sehingga laporan ini ditulis, masih tiada sebarang kenyataan atau tindakan daripada pihak berkuasa berhubung status penghinaan itu. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.