Penagih Curi Ambulans

KUALA KRAI – Misteri kehila­ngan sebuah ambulans milik Hospital Kuala Krai yang dihantar untuk dibaiki di sebuah bengkel di Jalan Besar Guchil di sini terjawab ekoran penahanan dua penagih dadah dan kenderaan tersebut ditemui semula.

Ambulans jenis Toyota Hiace berwarna putih yang hilang pada 21 Jun lalu ditemui di sebuah bengkel haram yang terletak di belakang sebuah rumah di Labok, Machang dan dalam keadaan untuk dileraikan dan komponennya mahu dijual, lapor Kosmo.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, susulan penemuan ambulans tersebut pada pukul 4.30 petang, 30 Jun lalu, polis turut menahan dua pemuda yang berusia 35 dan 36 tahun di tempat dan pada hari sama ambulans tersebut ditemui.

“Polis berjaya menemui semula ambulans berwarna putih yang hilang selama sembilan hari di sebuah bengkel haram yang terletak di belakang sebuah rumah di Labok.

“Siasatan polis mendapati ambulans itu mahu dileraikan dan alat ganti kenderaan tersebut mahu dijual oleh kedua-dua suspek penagih dadah itu bagi mendapat wang membeli dadah,” katanya.

Menurutnya, ketika ambulans berkenaan ditemui, pelekat pada kenderaan itu sudah dibuang selain beberapa bahagian kenderaan itu telah diubah suai serta menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.