Pas Nafi Wujud Krisis Hadi, Tuan Ibrahim

KOTA BARU — Tiada persengketaan antara presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Timbalan mursyidul am PAS Datuk Ahmad Yakob berkata, mungkin berlaku perbezaan pendapat antara mereka bagi sesuatu perkara namun ia tidak melibatkan hal yang berkaitan dengan dasar parti tersebut.

“Saya ada dalam apa jua perjumpaan parti, mesyuarat dan sebagainya, tidak ada pergeseran, cuma berlaku hanyalah berlainan pendapat sahaja disebabkan oleh satu perkara tetapi bukan melibatkan dasar parti,” katanya, lapor Bernama.

Ahmad, yang juga menteri besar Kelantan, berkata dakwaan itu sengaja diwujudkan oleh musuh politik PAS untuk mengaburi masyarakat kerana pihak terbabit akan melakukan bermacam-macam cara untuk memecahbelahkan PAS.

Sementara itu, mengenai penasihat DAP Lim Kit Siang yang mencadangkan naib presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Husam Musa sebagai menteri besar Kelantan sekiranya Pakatan Harapan menguasai Kelantan pada pilihan raya umum ke-14, Ahmad berkata rakyat akan menentukan parti yang layak untuk memerintah Kelantan.

“Mungkin itu cara mereka (pembangkang) untuk mencipta isu bagi menaikkan semangat pemimpin mereka bagi menghadapi PRU14,” katanya.

Beliau berkata PAS tidak mengambil peduli kenyataan seumpama itu kerana parti itu mempunyai dasar sendiri dan rakyat sudah memahami dasar yang diperjuangkan oleh PAS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.