JPN Sarawak Diarah Pantau Penyakit Virus Rabies Elak Jangkitan pelajar

IPOH – Kementerian Pendidikan mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak memantau perkembangan penyakit rabies atau anjing gila di negeri itu bagi mengelakkan jangkitan dalam kalangan pelajar sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kalamanathan berkata JPN Sarawak juga diarahkan memberi maklumat terkini kepada guru besar dan pengetua sekolah mengenai langkah pencegahan dan kawalan yang perlu dilaksanakan.

“Pihak yang bertanggungjawab perlu mengawal persekitaran sekolah kerana ada di antara kawasan sekitar sekolah yang tidak berpagar terutamanya sekolah yang terletak di kawasan pedalaman,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Desa Pinji dekat Lahat, hari ini.

Sabtu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata 3 kanak-kanak termasuk 2 beradik berumur 4, 6 dan 7 tahun di daerah Serian, Sarawak dijangkiti rabies yang dinotifikasi dari Hospital Umum Sarawak, Kuching pada 22 Jun lalu.

Noor Hisham berkata siasatan lanjut turut mendapati 2 daripada mangsa mempunyai sejarah gigitan anjing lebih kurang 1 atau 2 bulan sebelum mula menunjukkan tanda dan gejala, manakala seorang lagi mangsa tidak dapat dipastikan sama ada terdapat sejarah gigitan anjing atau tidak. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.