DAP Semakin Tunjuk Belang

KOTA BHARU – Sikap pemimpin Pakatan Harapan yang tidak menghormati parti-parti lain dalam gabungan sesama sendiri membuktikan mereka belum layak menjadi kerajaan.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, tindakan sering bersaing untuk menunjukkan kekuatan masing-masing boleh menggagalkan impian ciptaan mereka menggantikan BN pada PRU14 nanti.

Secara jelas lagi, Nik Mohamad Abduh berkata, ia dapat dilihat apabila DAP mendahului rakan pakatannya dengan menamakan Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa sebagai menteri besar negeri ini jika mereka menang PRU14 nanti.

“Itulah sikap sebenar DAP yang Pas sudah lama fahami, jadi sebab itulah kita berpisah dengan mereka kerana kita tahu DAP ini bila merasakan dia kuat, dia akan menguasai yang lain.

 

“Kalaulah DAP saling menghormati parti-parti lain, dia tidak sewenangnya untuk menentukan mana-mana parti yang layak menjadi menteri besar,” katanya kepada media ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Pas Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini semalam.

Sinis Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga, segala telahan Pas selama ini terhadap Pakatan Harapan telah terbukti berlaku ketika ini dan ia boleh dinilai sesama mereka.

“Sekarang Pakatan Harapan dilihat sering bersaing untuk berada di depan, bagi saya, kalau mereka terus dengan sikap ini, masih tidak sesuai untuk mereka menggantikan BN,” katanya.

Terbaharu, Penasihat Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam ceramah Pakatan Harapan di Dewan Perniagaan Cina di Kelantan telah menamakan Husam sebagai menteri besar jika pakatan itu menang dalam PRU14 nanti.

Kit Siang menyifatkan Husam adalah calon sesuai dengan ketokohannya untuk mengetuai Kelantan setelah ketiadaan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam pada itu, Nik Mohamad Abduh juga berkata, keputusan Pas sebelum ini untuk tidak bersama Pakatan Harapan adalah langkah paling tepat dilakukan parti itu.

“Kita yakin pendekatan yang digunakan Pas sekarang akan terus diterima oleh rakyat,” katanya.

Majlis sambutan Hari Raya yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah tersebut dihadiri 20,000 rakyat negeri ini.-Sinar

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.