Calon PRU Mesti Fasih Bahasa Melayu Kata Dr Asri

KUALA LUMPUR – “Orang Bangladesh yang datang ke negara kita beberapa bulan dah mula boleh bertutur bahasa Melayu. Patutkah ada orang Malaysia yang hidup membesar di sini tetapi tidak fasih bahasa Melayu.”kata Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai kewajaran setiap rakyat negara ini tanpa mengira bangsa dan kaum menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Menurutnya, setiap negara ada identitinya dan Malaysia adalah Tanah Melayu maka Bahasa Melayu antara identitinya.

Justeru, beliau berpandangan kelompok yang tidak fasih bahasa Melayu sepatutnya tidak diberikan ruang dalam politik Malaysia kerana mereka akan menghilangkan identiti negara ini.

“Kelompok yang seperti ini sepatutnya tidak diberikan ruang dalam politik negara ini. Mereka ini akan menghilangkan identiti negara kita.

“Menjelang pilihan raya ini pastikan calon yang bakal dihantar ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dapat bertutur dengan baik dalam bahasa rasmi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, seperti memetik myNewshub.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman Kementerian Kesihatan berhubung kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu peringkat SPM untuk pelantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 bagi memberi peluang pada graduan perubatan yang tidak menduduki SPM menerima latihan siswazah dan berkhidmat wajib dua tahun dengan kementerian itu.

Pada 1 Jun lalu, Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) pernah mendesak pemimpin tertinggi Pakatan Harapan daripada DAP, Lim Kit Siang menjelaskan tempat sebenar beliau dilahirkan supaya seluruh rakyat Malaysia tahu asal usul pemimpin tertinggi pembangkang itu.

Ia ekoran kegagalan Kit Siang bertutur bahasa Melayu dengan baik hingga hari ini dan maklumat wikipedia yang mengelirukan mengenai asal usul beliau.

Mohd. Asri berkata, setiap negara ada identiti dan Malaysia adalah Tanah Melayu maka Bahasa Melayu antara identitinya.

Menguasai sesuatu bahasa adalah suatu kelebihan. Jika ada orang yang gagal menguasai bahasa negaranya sendiri maka tanpa syak itu suatu kecacatan.

“Bagaimana mungkin orang Malaysia tidak boleh berbahasa Melayu?! Kalau di peringkat pendidikan bagaimana mungkin seorang terpelajar di Malaysia tidak boleh berbahasa Melayu?” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.