Azharina ‘Sambut’ Arwah Anak Angkat Pada Syawal

Biarlah tidak beraya dengan berpuluh-puluh koleksi pakaian, tas tangan mahupun kasut baru.

Bagi penyanyi Azharina Azhar keutamaan menyambut Syawal adalah dengan menghias rumah demi meraikan ‘kedatangan roh’ insan tersayang.

Dalam keterujaan orang lain menyambut Aidilfitri, Azharina berkata, dia masih tidak dapat membendung perasaan sayu setiap kali terkenang anak angkat keduanya, Rizkie Azharin Azhar, yang meninggal dunia tiga bulan lalu.

Justeru, untuk mengubat lara hatinya Azharina ingin rumahnya di Puchong sentiasa berada dalam keadaan cantik, kemas dan nampak sempurna dengan melakukan sedikit pengubahsuaian.

“Saya menerima kehilangan anak saya itu dengan reda, malah bersyukur kerana Allah meminjamkan dia untuk saya selama 23 hari.

“Namun, tidak mudah untuk mana-mana ibu jika diuji dengan anak mereka pergi terlebih dulu,” katanya.

Malah bagi Azharina, ibu adalah ibu walaupun ia berstatus kandung atau angkat.

“Jika sebut saja tentang anak, itulah anak di dunia dan akhirat,” katanya.

Lebih senang raya sendiri

Justeru Azharina melakukan pengubahsuaian pada rumahnya dan meletak lampu warna-warni agar kediaman itu berada dalam keadaan ceria.

“Barulah roh anak angkat dan nenek moyang melawat,” katanya sambil menahan sebak.

Rizkie meninggal dunia ketika berusia 23 hari pada Mac lalu akibat beberapa kompilasi termasuk pendarahan otak, kerosakan buah pinggang dan paru-paru dipenuhi susu.

Juara Gegar Vaganza musim ketiga itu turut membesarkan seorang lagi anak angkat, Rahmat Azharin Aziz, yang kini berusia dua setengah tahun.

Menurut Azharina, selepas berita kehilangan anak angkat keduanya itu tersebar di media, dia ada menerima ‘tawaran’ untuk mengisi ruang kekosongan di hatinya.

“Selepas arwah meninggal dunia, saya didatangi kira-kira empat hingga lima individu yang ingin menyerahkan anak mereka kepada saya. Tetapi saya belum bersedia,” katanya.

Sementara itu, berkongsi kisah sambutan lebaran, penyanyi Mimpi Bahagia itu berkata, perayaan kali ini disambut secara sederhana dengan menyediakan makanan sekadar termampu.

Kata anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu, dia tidak kisah menghabiskan waktu senggangnya di rumah sendiri dengan menjadi orang dapur kerana memasak sudah menjadi perkara lumrah setiap kali hadir sesuatu perayaan.

“Saya lebih senang beraya di rumah sendiri, lagipun kampung sudah menjadi bandar. Sudah 15 tahun saya tidak pulang beraya di kampung halaman.

“Saya juga tidak pernah mengupah katering sepanjang menyambut raya, semuanya dimasak sendiri termasuk kuih-muih.

“Juadah paling istimewa kali ini adalah Soto Jabru – atau Jawa Brunei – yang dimasak menggunakan resipi turun-temurun daripada keluarga ibu,” katanya.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.