1,509 Pendatang Asing dan 28 Majikan Ditahan Sejak 1 Julai – Imigresen

PUTRAJAYA – Seramai 1,509 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen sejak operasi penguatkuasaan besar-besaran dilaksanakan Jabatan Imigresen susulan tamatnya tempoh bagi pendaftaran Program E-kad pada 30 Jun lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata jumlah penahanan tersebut adalah hasil daripada 181 operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negara bermula 1 Julai hingga 8 pagi hari ini (3 Julai) melibatkan pemeriksaan ke atas 5,278 orang warga asing.

“Sebanyak 28 majikan turut ditahan dan 86 orang diberi notis untuk hadir memberi keterangan sejak operasi tersebut dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Daripada PATI yang ditahan, tangkapan tertinggi adalah warga Bangladesh seramai 752, diikuti oleh warga Indonesia (195), Myanmar (117), Filipina (50), Thailand (45) dan bakinya adalah dari negara lain.

Seramai 1,314 merupakan PATI lelaki, 192 perempuan dan tiga orang kanak-kanak, tambahnya.

​​​​E-Kad (Enforcement Card) membolehkan penggajian semula pekerja asing tanpa izin (PATI).

Mustafar berkata majikan yang dikesan menggaji PATI boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63 di mana majikan akan didakwa di bawah empat kesalahan utama iaitu di bawah Seksyen 55A kerana membawa masuk PATI secara tidak sah ke dalam negara, Seksyen 55B kerana menggaji PATI, Seksyen 55E kerana membenarkan PATI masuk dan tinggal di premis dan Seksyen 56 (1) (d) kerana kesalahan melindungi PATI.

Di samping itu, katanya majikan juga boleh didakwa di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) (ATIP SOM).

Mustafar berkata operasi penguatkuasaan tersebut akan dijalankan secara berterusan tanpa henti dan majikan serta PATI yang ditangkap dalam operasi tersebut akan dikenakan tindakan yang tegas.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga telah mengesan satu taktik baru cubaan mendaftar E-kad oleh PATI yang telah dihantar pulang dan disenarai hitamkan.

“Mereka menyusup masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah dan cuba menyertai program pendaftaran E-kad dalam usaha mendapatkan pas kerja yang sah.

“Namun ini dapat dikesan oleh JIM apabila cap jari mereka diambil untuk semakan dan rekod telah mengesan identiti mereka yang sebenar dan status mereka yang disenarai hitam,” katanya.

Beliau berkata cubaan untuk mendaftarkan PATI yang tidak layak itu berjaya digagalkan melibatkan 38 kes dengan 40 orang PATI dan dua orang majikan telah ditangkap.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu Jabatan Imigresen dalam melaksanakan penguatkuasaan diminta untuk tampil menyalurkan maklumat,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.