Bangladesh Berkabung Dua Hari Selepas Serangan Pengganas

DHAKA – Bangladesh memulakan hari berkabung selama dua hari sejak semalam ketika Perdana Menteri Sheikh Hasina Wazed berikrar untuk memerangi secara habis-habisan serangan pengganas di negaranya.

 

Semasa mengumumkan perintah berkabung itu, Hasina menarik perhatian umum dengan menyatakan bahawa penjenayah yang melancarkan serangan itu tidak percaya kepada agama.

 

“Sesiapa yang percaya pada agama tidak akan melakukan sedemikian. Mereka tidak mempunyai agama. Satu-satunya ‘agama’ mereka adalah keganasan,” ujar Hasina.

 

Sejumlah 20 tebusan, kebanyakannya warga asing terbunuh dalam serangan itu termasuk sembilan warga Itali, tujuh warga Jepun, seorang masing-masing dari Amerika Syarikat dan India.

 

Operasi gempur yang berlanjutan selama 12 jam akhirnya berjaya menyelamatkan 13 tebusan.

 

Drama tebusan di sebuah kafe itu menyaksikan enam penyerang bersenjata ditembak mati oleh skuad elit tenter, sementara seorang lagi ditahan.

 

Sebelum itu, restoran the Holey Artisan Bakery ditawan militan pada Jumaat malam.

 

“Saya tidak percaya semua ini berlaku. Ia seperti dalam adegan filem, mereka mengacukan senjata kepada saya dan saya juga mendengar das-das tembakan.

 

“Saya sangat takut,” ujar chef dari Argentina, Diego Rossini, yang kahirnya berjaya menyelamatkan diri dengan berlari ke bangunan bersebelahan.

 

Pertempuran pada peringkat awal bagaimanapun telah meragut dua nyawa anggota polis manakala 30 yang lain cedera.

 

Insiden berkenaan berlaku berhampiran Nordic Club, yang menjadi tumpuan golongan ekspatriat, dan juga kedutaan Qatar.

 

Bangladesh sudah menyaksikan siri kejadian seumpamanya sejak kebelakangan ini, dengan sasaran ditumpukan kepada penulis blog sekular, aktivis gay, golongan terpelajar dan penganut agama minoriti. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.