Saya Masih Ingat Kisah Fitnah 40,000 Pengundi Bangladesh – Najib

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan pengamal media agar memastikan berita yang disiarkan telah ‘lulus’ kesahihannya sebelum mengejar siapa paling cepat dalam penyiarannya.

 

Menurutnya, cabaran masa kini apabila orang mengejar untuk menyebarkan berita paling cepat dan meletakkan kesahihan itu di tempat kedua.

 

“Pendapat yang berbeza tidak menjadi masalah. Lebih-lebih lagi pendapat yang berbeza itu konstruktif…membina. Yang menjadi masalah ini kalau tidak berasaskan pada fakta.

 

“Setelah disemak balik rupanya pendapat itu meleset atau tidak berasas. Inilah cabaran dalam suasana baharu ini kerana orang mengejar berita. Berita itu nak disampaikan dalam masa yang secepat mungkin. Nak jadikannya viral.

 

“Mahu jadi yang pertama (sebarkan) sebab nak membentuk persepsi bukan nak menentukan kesahihan, ketepatan berita. Kesahihan berita itu seolah-olah perkara kedua,” katanya ketika memberi ucapan pada majlis berbuka puasa dengan media di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, semalam.

 

Tegasnya, apabila persepsi telah terbentuk hasil ‘penyiaran paling cepat’ tersebut, usaha membetulkan kembali keadaan amat sukar.

 

Malah beliau akui masih belum dapat melupakan penyebaran maklumat yang didakwanya tidak benar berkaitan usaha membawa masuk 40,000 pengundi dari Bangladesh pada PRU13 lalu.

 

“…selepas terbentuk persepsi, nak betulkannya, nak mengikisnya amat sukar sekali. Beberapa contoh yang boleh saya berikan…pilihan raya dahulu. Masih segar dalam ingatan saya. Saya sukar nak lupakan.

 

“Kononnya 40,000 pengundi Bangladesh menunggu untuk mengundi BN, pada saat-saat akhir, kita tak mampu untuk membetulkannya. Ada orang percaya. Individu yang kelihatan seperti warga Bangladesh dikejar.

 

“Mereka tidak ‘berhenti’ untuk bertanya jika nak bawa 40,000 pengundi Bangladesh, sebuah pesawat boleh bawa 400 orang, untuk bawa 40,000 perlu ada 1,000 pesawat mendarat di KLIA. Tak tanya. Tapi berita itu sudah jadi viral dan kerosakannya kepada BN,” katanya.

 

Mengulas mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) yang dikaitkan dengan kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Najib menegaskan sekali lagi bahawa kerajaan tidak menggunakan wang pendeposit untuk menyelamatkan syarikat pelaburan itu.

 

“Baru-baru ini kena pada Tabung Haji. Harinya bila? Hari terakhir sebelum mengundi di Permatang Pauh. Disebarkan cerita kononnya kita gunakan wang TH nak selamatkan 1MDB. Walhal urusan membeli sekeping tanah urusan komersil yang akan membawa keuntungan tak kurang daripada RM170 juta kepada TH.

 

“Tapi ceritanya sampai ke bawah. Pendeposit TH, mak cik, pak cik di kampung semua marah. Kenapa kita buat itu? Tak kanlah kita nak gunakan wang rakyat untuk bail-out 1MDB. Itu bukanlah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab tapi cerita itu telah menjadi viral.

 

“Akhirnya, apabila kebenaran muncul, apa berlaku? Dalam perbahasan Parlimen, ahli Parlimen pembangkang pun bangkit ‘TH jangan jual (tanah). Rugi. Sebab ini urusan komersil. TH boleh dapat keuntungan besar.’ Tapi kerosakan telah berlaku,” katanya.

 

Akui tertekan dengan semua pemberitaan tidak tepat yang menyebabkan hilang undi, Najib mengajak semua pihak mencari jalan penyelesaian termasuk pengamal media.

 

“Bukan sahaja Datuk Hussamuddin (Pengarah Urusan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob) tertekan, saya pun tertekan. Orang politik pun tertekan sebab kita jadi sasaran. Orang media rugi dari segi ‘circulation’ kita (ahli politik) rugi dari segi undi. Kalau kita sama-sama tertekan, baik kita cari jalan penyelesaiannya.

 

“Bukan saya nak bagi jalan penyelesaiannya malam ini tapi saya nak pengamal media fikirlah. Sebab kita tidak membentuk akal, budi masyarakat yang bertanggungjawab,” katanya.

 

Menurutnya lagi, semua pihak mesti sama-sama bertanggungjawab dalam perkara itu dengan mempertahankan kebenaran.

 

“Perbezaan pendapat tak jadi masalah tapi ‘we seek the truth’. Kalau kita kata berbilion-bilion ringgit hilang, apa kebenarannya?

 

“Inilah yang mesti kita pertahanan. Kebenaran. Bukan siapa yang sebutan tapi kebenaran. Cari kebenaran,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.