Dipenjara 10 Tahun Sebabkan Kematian Pemuda Ganggu Isteri

SHAH ALAM – Seorang bapa kepada tiga orang anak dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana menyebabkan kematian seorang pemuda yang didakwa mengganggu isterinya pada tahun lepas.

 

Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Fadliey Ibrahim, 39, selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan menyebabkan kematian Ahmadi Zuhori Yahya, 28, di sebuah restoran di Taman Impian Ehsan, Kajang dekat sini, pada 7 Februari tahun lepas.

 

Hukuman ke atas tertuduh diputuskan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun. Mahkamah memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh lelaki itu ditangkap iaitu pada hari kejadian.

 

Mohd Fadliey sebelum ini menghadapi pertuduhan asal iaitu membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

 

Dalam penghakimannya, Abdul Halim berkata, negara ini mempunyai undang-undang dan tiada sesiapa boleh melaksanakan undang-undang mengikut kemahuan sendiri tanpa memikirkan kesan serta akibatnya.

 

Menurut fakta kes, tertuduh telah mengatur satu pertemuan dengan mangsa untuk berbincang kerana tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang selalu menghantar khidmat pesanan ringkas kepada isterinya walaupun telah diberi amaran untuk tidak berbuat demikian.

 

Semasa pertemuan itu pergaduhan tercetus yang tertuduh telah memukul bahagian kepala mangsa dengan cawan selain menendang dan menumbuk mangsa di beberapa bahagian badan.

 

Akibat daripada pergaduhan itu, mangsa dimasukkan ke Hospital Kajang dan meninggal dunia empat hari kemudian.

 

Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat pukulan objek tumpul pada bahagian kepala.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar sementara tertuduh diwakili peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.