Umat Islam Dilarang Sertai Jihad Di Syria Dan Iraq

Shah Alam – Umat Islam di negara ini dilarang menyertai aktiviti militan untuk berjihad di Syria atau Iraq berikutan tidak memahami situasi sebenar perang saudara di negara-negara terbabit.

Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, dari segi hukum, disebabkan tidak jelas dengan situasi itu maka status sama ada militan dari Malaysia boleh dianggap mati syahid atau tidak, masih samar-samar.

“Kalau mereka pergi mempertahankan orang-orang yang ditindas, kanak-kanak yang dibunuh, wanita yang dibunuh mereka boleh dikata mati syahid.

“Tetapi sekarang ini masalahnya mereka pun tak jelas. Jadi, budak-budak muda kita ini niat dia mungkin betul nak tolong tapi cara dia mungkin tak betul sebab tak ada panduan,” katanya.

Semalam, polis mendedahkan sedang memburu seorang pensyarah kanan Universiti Malaya (UM) bersama empat lagi kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan yang dipercayai mahu berperang di negara-negara bergolak.

Dr. Mahmud Ahmad, 36, yang merupakan pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam Fakulti Akademi Pengajian Islam turut dipercayai menjadi individu yang bertanggungjawab merekrut rakyat Malaysia untuk berperang di Syria dan Iraq bagi menyertai perjuangan Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL).

Asri berkata, sesetengah militan rakyat Malaysia yang datang ke Syria atau Iraq mungkin terdedah kepada penipuan dan eksploitasi disebabkan tidak memahami keadaan sebenar dan diburukkan lagi apabila tidak mengetahui bahasa Arab.

“Rakyat Malaysia yang pergi ke sana kadang-kadang mungkin disebabkan yang tak tahu bahasa Arab, tempat dan mereka mungkin boleh ditipu dan dikelirukan oleh kumpulan-kumpulan yang bertelagah.

“Dan akhirnya mungkin mereka akan melibatkan diri dalam kumpulan yang mungkin ekstremis yang mempunyai agenda lain yang membunuh antara satu sama lain dan ini kena hati-hati. Mereka mungkin akan terjebak,” jelasnya.

Beliau berkata, pada asalnya niat mereka ini baik bagi tujuan membantu rakyat di Iraq dan Syria namun itu bukan jalan penyelesaian kepada krisis yang berlaku di negara itu.

“Asal niatnya betul tapi bila dia pergi bukan penyelesaian yang betul kerana keadaan yang berlaku,” katanya.

“Cuma bila dia pergi ada pihak yang eksplotasi, jadi mereka yang nak pergi kena hati-hati sebab nanti mereka akan terlibat dalam benda-benda dan kumpulan-kumpulan yang tak sepatutnya,” katanya lagi.

Bagi mereka yang berpegang kepada alasan mahu menentang pemerintah yang zalim untuk berjihad di Syria, Asri berkata, perkara itu perlu dilihat dari konteks lebih mendalam pelaksanaannya.

“Rakyat Syria sendiri yang mempertahankan diri mereka daripada serangan rejim dan juga rakyat Iraq yang mempertahankan diri mereka dari serangan musuh-musuh yang membunuh mereka adalah jihad.

“Tetapi rakyat kita yang nak pergi ke sana dia ada isu yang lain, isunya kerana kita tak jelas. Kerana di Syria dan Iraq itu telah berlaku macam kekeliruan, siapa yang benar-benar nak mempertahankan rakyat dan siapa pula kadang-kadang mungkin bertempur antara satu sama lain mungkin membunuh satu sama lain,” jelasnya.

Tambahnya, jika benar umat Islam mahu berjihad, mereka boleh melakukannya dalam isu yang lebih jelas seperti di Palestin, bukan hanya dari sudut tenaga, tetapi menghulurkan bantuan kewangan untuk masyarakat Islam di sana.

“Kalau mereka pergi dengan kumpulan yang sepatutnya macam misi rakyat Palestin untuk memberi misi kemanusian itu tak ada masalah tapi kalau ini mereka pergi tak jelas nanti akhirnya tak tahu mungkin mereka akan membunuh satu kumpulan yang mereka rasa musuh padahal mereka adalah penduduk tempatan yang bukan musuh,” jelasnya.

Justeru, beliau meminta kerajaan Malaysia agar memberi penjelasan terperinci berhubung pergerakan ISIL kerana ia membabitkan peperangan sesama Muslim, yang tidak selari dengan konsep jihad.

“Kerajaan Malaysia perlu memberi penjelasan apakah kumpulan-kumpulan yang salah itu? Kenapa dianggap salah? Dan yang mana cara yang betul untuk menolong rakyat Syria dan Iraq,” katanya.

Baru-baru ini negara digemparkan dengan penemuan satu rakaman video di Youtube yang mendedahkan sekumpulan lelaki dipercayai rakyat Malaysia berada di Syria untuk berperang kerajaan negara itu.

Rakaman berdurasi satu setengah minit itu dimuatnaik dengan tajuk dalam bahasa Sepanyol.

Rakaman itu dipercayai dibuat oleh seorang lelaki rakyat Malaysia dengan loghat utara.

Kemungkinan terdapat tiga lelaki warga Malaysia bertutur dalam Bahasa Melayu mengikut rakaman tersebut.

Video yang diambil dari syriantube.net, telah dimuat naik pada 7 Jun lalu dan ditonton sebanyak lebih 5,000 kali.

Pada 18 Jun lalu, Wakil Tetap Syria ke PBB mendakwa seramai 15 warga Malaysia terlibat dalam aktiviti-aktiviti jihad ISIL.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.