Tiga Beranak Lalui Detik Cemas

ROMPIN – Tiga beranak nyaris maut selepas kereta Kia Spectra yang mereka naiki terbabas lalu masuk ke dalam parit di hadapan Masjid Sultan Ahmad Shah, Tanjung Gemok, kelmarin, selepas mengelak sebuah kereta jenis Proton Iswara yang keluar simpang secara mengejut.

Penduduk Kampung Jawa, Azizan Mohd Ali, 32, berkata, pintu bahagian penumpang hadapan tidak boleh dibuka namun dengan bantuan orang ramai telah menyelamatkan isteri dan anaknya yang berumur setahun.

“Saya dalam perjalanan pulang dari Klinik Kesihatan Endau ke rumah di Jalan Pantai 3, Kampung Jawa dan mengekori belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero yang kemudiannya mengambil susur kiri untuk masuk simpang ke Pianggu.

“Saya meneruskan perjalanan memintas Pajero itu namun saya terkejut kerana sebuah kereta jenis Proton Iswara tiba-tiba keluar dari simpang dari arah kiri dan saya cuba mengelak, namun gagal hingga kereta hilang kawalan seterusnya masuk ke dalam parit,” katanya.

Menurut Rizal, beliau pada mulanya berasa cemas kerana pintu di bahagian penumpang hadapan tidak boleh dibuka dan anak yang berada di atas ribaan isterinya itu berada di kerusi penumpang berkenaan.

“Sebelum masuk ke dalam parit, saya sempat mengelak ke sebelah kanan jalan hingga nyaris melanggar tiang dan kemudiannya hilang kawalan lalu melencong ke sebelah kiri pula seterusnya meluncur masuk ke dalam parit.

“Saya pada mulanya rasa cemas sebab air mula masuk ke dalam kereta, namun orang awam yang datang membantu telah menyelamatkan kami tiga beranak. Isteri dan anak saya yang cedera ringan dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Gemok berdekatan,” katanya.

Rizal berkata, beliau berharap setiap pengguna berhati-hati ketika keluar dari simpang dan sentiasa juga memikirkan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Kedua-dua pemilik kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut telah membuat laporan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/tiga-beranak-lalui-detik-cemas-1.295896

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.