Putrajaya Akan Ubah Status Gereja Di Rumah Kedai

Kuala Lumpur – Kementerian Wilayah Persekutuan bakal menukarkan hak pelesenan gereja yang bertempat di bangunan rumah kedai dalam bandar raya daripada status komersial kepada tanah agama, kata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, langkah itu dapat mengekalkan rumah ibadat berkenaan.

“Langkah ini dibuat bagi memantau dan menyediakan kemudahan beribadat, bila kita beri lesen ini maka rumah kedai itu akan jadi gereja.

“Kalau pengurusan gereja berpindah keluar dan ada pengurusan lain masuk ia tidak akan menjadi kedai lain,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu beliau memperkenalkan 14 ahli Majlis Jawatankuasa Badan Penasihat Rumah Ibadat Bukan Islam (Ribi) Wilayah Persekutuan.

Katanya, pelantikan Ribi dibuat atas saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahukan ada satu jawatankuasa menyelesaikan masalah berkaitan rumah ibadat.

“Kita sudah maklumkan semua ahli Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang mengenai jawatankuasa ini,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan menunjukkan kerajaan prihatin terhadap masalah rakyatnya.

“Kerajaan sebenarnya mengambil berat, kami dengar dan ambil tindakan bukan seperti pembangkang mereka hanya tahu cakap perkara merepek, tapi kita walk and talk,” katanya.

Beliau yang juga setiausaha agung Umno berkata, Ribi akan menguruskan isu lebih 300 rumah ibadat di Wilayah Persekutuan.

“Seperti di gereja penukaran lesen di bawah jawatankuasa dan apa saja yang melibatkan rumah ibadat, bil air, api semua boleh dibincangkan.

“Gereja yang terdapat di rumah kedai akan cuba mendapatkan bantuan persatuan Kristian,” katanya.

Adnan berkata, setiap masalah yang berlaku di rumah ibadat akan dibentangkan kepada perdana menteri.

Katanya, permohonan rumah ibadat di kawasan sedang membangun akan dilihat berdasarkan majoriti penduduk.

“Kita akan lihat kepada majoriti penduduk dan jika berbilang kaum, kita letakkan semua (rumah ibadat),” katanya.

Selain itu, kerajaan juga mengambil tindakan terhadap kontroversi rumah ibadat yang perlu dipindah atau dirobohkan kerana tanah itu bukan milik mereka.

“Kejadian ini berlaku sebab tidak ada jaminan, jadi kita akan pastikan ada ‘title’ rumah ibadat itu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.