Pertengkaran Wakil Rakyat, Pemaju Tegang

MIRI: Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo Yu Kheng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Fong Pau Teck, hilang kawalan hingga menyingsing lengan dan saling bertekak dengan wakil pemaju Marina Park di Pusat Komersil Miri Waterfront, semalam.

Insiden tersebut yang tercetus sekitar jam 11.15 pagi semalam bukan sahaja mengundang anggota polis tiba untuk memastikan keadaan terkawal malah turut menarik perhatian orang ramai dan kakitangan dari pejabat-pejabat awam yang terletak di sekitarnya.

Pertikaman lidah tersebut membabitkan Fong yang bersepakat dengan Dr Teo menentang wakil pemaju, selepas kedua-dua mereka tidak berpuas hati dengan tindakan pihak pemaju yang dituduh cuba ‘merampas’ ruang-ruang parkir kereta di beberapa kawasan di pusat komersil itu untuk dibina semula menjadi jalan raya.

Tindakan tersebut menurut mereka bukan sahaja akan menimbulkan kesesakan malah menyebabkan bangunan kedai dan pejabat di kawasan itu akan kehilangan sejumlah besar kawasan parkir kereta yang menurut Fong dan Dr Teo, adalah tindakan tidak sah dilakukan oleh pemaju.

Sementara itu wakil pihak pemaju mempertahankan bahawa projek membina jalan raya di atas kawasan parkir tersebut adalah sah dan diluluskan.

MARAH: Dr Teo (tengah) mulai naik darah, enggan menerima kenyataan daripada wakil pemaju yang memberitahu bahawa projek membina jalan raya di kawasan tersebut adalah sah.
MARAH: Dr Teo (tengah) mulai naik darah, enggan menerima kenyataan daripada wakil pemaju yang memberitahu bahawa projek membina jalan raya di kawasan tersebut adalah sah.

Terdahulu kedua-dua wakil rakyat tersebut telah bertindak menghentikan pihak kontraktor, daripada meneruskan kerja-kerja menimbus kawasan parkir kereta untuk membolehkan ia dibina semula menjadi laluan jalan raya.

Menurut Dr Teo, kerja-kerja tersebut perlu dihentikan memandangkan laporan polis berhubung perkara tersebut telah dibuat dan aduan kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) juga sudah dibuat.

Namun kedua-dua mereka gagal mengawal kemarahan apabila pihak kontraktor memberitahu bahawa pelaksanaan tersebut telah diluluskan oleh Unit Perancangan Negeri (SPA) dan kontrak sudah ditandatangani bagi menyiapkan projek berkenaan.

“Kamu tidak berhak. Tindakan ini adalah merampas ruang parkir kereta kami dan orang awam tidak cukup tempat untuk meletak kereta di sini,” ujar Dr Teo dalam nada tinggi yang turut menarik perhatian awam.

Menurut Dr Teo, Marina Park sudah mempunyai empat laluan jalan yang lain termasuk Jalan Brighton dan tindakan mereka membina lagi laluan dalam Pusat Komersil Miri Waterfront dari Jalan Bendahara, dianggap ‘merompak’ pemilik bangunan kedai di situ dan orang awam yang bakal ‘menghilangkan’ sebanyak 72 peratus ruang parkir kereta di kawasan itu.

Sementara itu, Datuk Bandar MBM Lawrence Lai Yew Son ketika dihubungi semalam memberitahu, beliau hanya akan mengulas mengenai perkara itu hari ini (Khamis) selepas mendapatkan gambaran penuh mengenai pembangunan yang dijalankan di kawasan berkenaan.

http://www.theborneopost.com/2014/07/03/pertengkaran-wakil-rakyat-pemaju-tegang/

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.