Militan: Pensyarah UM Antara Lima Diburu

KUALA LUMPUR – Seorang pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) adalah antara lima rakyat Malaysia yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kegiatan militan di negara ini.
    
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata pensyarah itu yang dikenali sebagai Dr Mahmud Ahmad atau Abu Hanzalah, 36, dari Taman Selayang Baru, Batu Caves.
    
Turut dikenal pasti ialah pemilik kedai fotostat dan alat tulis di UM, Mohd Najib Husen atau Abraham, 36, yang tinggal di Pangsapuri Tainia, Kota Damansara dan kakitangan Jabatan Urusetia Majlis Perbandaran Selayang Muhammad Joraime
Awang Raime atau Abu Nur, 39, yang tinggal berdekatan kawasan perumahan Mahmud.
    
Dua lagi berasal dari Tawau, Sabah iaitu Mohd Amin Baco, 31, dari Kampung Titingan dan seorang buruh Jeknal Adil atau Jek, 30, dari Kampung Kurnia Jaya.
    
Menurut Khalid mereka dikenal pasti hasil siasatan terhadap 19 anggota militan yang ditangkap oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman sejak 28 April lalu, kini dipercayai bersembunyi di selatan Filipina.
   
“Tiga daripada mereka disyaki terlibat dalam merekrut dan mengatur pemergian anggota-anggota militan dari negara ini untuk menyertai Kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) di Syria.
    
“Dua lagi merupakan anggota Darul Islam Sabah yang kini menyertai kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG) di selatan Filipina,” katanya.
    
Khalid meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kelima-lima mereka agar menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohd Hazil Azhar dari Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas di talian 03-22667010 atau 011-21046850 atau mana-mana balai polis berdekatan.
    
Orang ramai juga boleh menghantar e-mel kepada ctd.e8m@gmail.com, katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.