Menyamar Bot Nelayan Tempatan

PASIR PUTEH – Percubaan dua bot nelayan Vietnam mengaburi mata pihak berkuasa dengan mewarnakan bot mereka seperti bot nelayan tempatan tidak berjaya apabila kegiatan mereka dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kelmarin.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tok Bali (DM10), Komander Maritim Khoo Teng Chuan berkata. aktiviti dua bot berkenaan menangkap ikan di perairan negara dikesan oleh kapal KM Jujur diketuai Pegawai Memerintah, Leftenan Komander Maritim Norhafizi Mohd Rafek.

Menurut beliau, bot pertama dikesan pada jam 1 petang, pada jarak 60 batu nautika dari Tok Bali, manakala sebuah bot lagi dikesan pada jam 7 malam kelmarin.

“Selain warna seperti bot tempatan, bot nelayan Vietnam itu turut menggunakan nombor pendaftaran Kelantan dan Terengganu.

“Selepas diperiksa, bot pertama didapati membawa 16 nelayan manakala bot kedua membawa 19 nelayan. Kedua-dua bot didapati tidak mempunyai sebarang dokumen atau surat kebenaran menangkap ikan yang sah. Kesemua nelayan juga didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya.

Teng Chuan berkata, kedua-dua bot terbabit dibawa ke Jeti Operasi Maritim Tok Bali untuk tindakan lanjut dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

Katanya, sabit kesalahan, tekong boleh didenda sehingga RM1 juta atau setahun penjara, manakala awak-awak boleh didenda sehingga RM100,000 atau setahun penjara.

“Kedua-dua bot terbabit membawa hasil tangkapan seberat 50 tan metrik, iaitu sotong yang dikeringkan, ikan campur dan ‘ikan baja’,” katanya.

Menurut Teng Chuan, APMM melaksanakan operasi berterusan menerusi Ops Perkasa Timur bagi membebaskan perairan negara daripada pencerobohan nelayan asing serta aktiviti melanggar peraturan negara.

“Mereka mengambil kesempatan ketika umat Islam berpuasa untuk merampas kekayaan hasil laut negara sehingga mereka terlupa bahawa APMM melaksanakan operasi secara berterusan, menerusi Ops Perkasa Timur.

“Saya berharap nelayan tempatan terus menyalurkan maklumat kepada pihak kami sekiranya melihat pencerobohan nelayan asing berlaku atau melihat nelayan menggunakan kaedah menangkap ikan yang dilarang seperti tunda ganding,’ katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/menyamar-bot-nelayan-tempatan-1.295788

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.