Isu Diplomat: Anwar Ulangi Skrip Lama Burukkan Malaysia

Shah Alam – Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa mengulangi ‘skrip lama’ untuk memburukkan imej Malaysia apabila menuduh kerajaan cuba berselindung berhubung isu diplomat yang didakwa di New Zealand atas kesalahan mencabul kehormatan dan pecah rumah.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, tindakan Anwar seperti itu sering dilakukan di pentas antarabangsa bertujuan untuk mendapatkan manfaat politik peribadinya.

Sebelum ini, Anwar pernah memburukkan imej Malaysia dalam isu kehilangan pesawat MH370 apabila menuduh kerajaan Malaysia cuba menyembunyikan maklumat mengenai data daripada radar yang mengesan pesawat tersebut.

Dalam isu diplomat ini pula, kata Putrajaya:

“Anwar turut berkata, Malaysia mengendalikan kes itu secara ‘mengejutkan’ dan ‘kemelut.’

“Anwar secara konsisten sering sengaja memburukkan reputasi Malaysia kepada media antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Kenyataan Putrajaya itu adalah susulan kepada kenyataan Anwar dalam temuramah bersama media New Zealand, stuff.co.nz semalam.

Wisma Putra berkata, pandangan Anwar bercanggah dengan kerajaan New Zealand yang berterima kasih kepada Malaysia atas ‘integriti yang ditunjukkan ketika menangani kes ini’.

Katanya lagi, New Zealand juga berkata Malaysia bertindak ‘dengan sepenuh kepercayaan’ dan ‘komited’ untuk mendakwa pesalah kepada proses pendakwaan yang lebih teratur.

Kerajaan hari ini memutuskan untuk menghantar suspek kes itu, Muhammad Rizalman Ismail, 38, yang merupakan Pegawai Warren untuk pulang ke New Zealand bagi membantu siasatan membabitkan kes rogol dan pecah rumah di Wellington.

“Kerajaan Malaysia memutuskan menghantar balik Pegawai Waran Kedua Muhammad Rizalman Ismail, bekas pembantu staf Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington untuk membantu siasatan dalam pendakwaan rompakan dan rogol,” kata kenyataan Putrajaya itu.

Keputusan menghantar tersebut disampaikan oleh Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman kepada Menteri Luar New Zaeland, Murray McCully.

Menurut kenyataan itu, tindakan menghantar Rizalman ke New Zealand itu diharap dapat membantu siasatan ke atas tuduhan yang dihadapinya.

Kerajaan Malaysia juga akan menyediakan bantuan guaman kepada Rizalman.

Sebelum ni, media mendedahkan diplomat negara, Rizalman terlibat dalam jenayah cubaan merogol dan pecah rumah di New Zealand tetapi dihantar pulang ke Malaysia kerana memiliki imuniti diplomatik.

Isu tersebut menimbulkan kontroversi di New Zealand, terutama kegagalan mendakwa tertuduh penyerang seks tersebut.

Pentadbiran Perdana Menteri New Zealand John Key juga dikritik hebat, terutamanya kerana lambat bertindak selepas hampir sebulan kes tersebut berjalan.

Diplomat tersebut didakwa mengikuti wanita berusia 21 tahun ke rumah dan kemudian didakwa cuba merogol.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.