Dua Adun MCA Melaka Angkat Sumpah Jawatan Exco

MELAKA – Dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari MCA, Lim Ban Hong (Klebang) dan Datuk Lai Meng Chong (Machap) hari ini mengangkat sumpah memegang jawatan anggota exco kerajaan negeri Melaka.

Lim, 37, dan Lai, 62, mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob di Pejabat Yang Dipertua Negeri, Ayer Keroh.

Yang turut menghadiri majlis itu ialah Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron, Speaker Datuk Othman Muhamad, para Adun yang lain dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Idris dijangka mengumumkan portfolio bagi kedua-dua exco itu petang ini.

Lim menyifatkan pelantikannya sebagai amanah daripada rakyat yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

“Sebagai exco, saya akan membawa suara rakyat tanpa mengira bangsa kepada kerajaan negeri supaya setiap masalah yang dihadapi rakyat dapat dicari jalan penyelesaian,” katanya kepada pemberita kemudiannya.

Lai pula berkata pelantikannya merupakan kepercayaan daripada rakyat dan beliau akan berusaha meningkat sokongan rakyat kepada Barisan Nasional.

Dengan perlantikan itu, Melaka kini mempunyai 10 anggota exco. – Bernama

http://www.sinarharian.com.my/politik/dua-adun-mca-melaka-angkat-sumpah-jawatan-exco-1.295606

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.