Thailand sedia perang dengan Kemboja isu pertikaian sempadan

- Advertisement -

BANGKOK- Thailand sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berperang dengan Kemboja, susulan ketegangan sempadan yang semakin memuncak melibatkan pertikaian wilayah di Ubon Ratchathani.

Jurucakap tentera Thailand Mejar Jeneral Winthai Suvaree menegaskan, segala pergerakan pasukan bertujuan melindungi kepentingan negara, selaras dengan prinsip antarabangsa.

Beliau berkata, sebarang tuntutan wilayah secara unilateral oleh Kemboja tidak mempunyai kesahihan antarabangsa kerana kedua-dua negara bersetuju menyelesaikan isu sempadan melalui Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC).

Suvaree berkata, Kemboja menuntut beberapa kawasan sempadan, namun kedua-dua pihak sedar tuntutan berdasarkan rujukan berbeza tidak memberi kesan ke atas wilayah sebenar.

“Oleh itu, pihak Thailand memberi tumpuan kepada kewujudan bersama di bawah peraturan yang dipersetujui bersama,” katanya.

Terdahulu, Direktorat Hal Ehwal Awam Tentera Diraja Thailand memuat naik laporan dan gambar dalam Facebook, memaparkan komander tentera wilayah memeriksa tahap kesiapsiagaan pasukan berhampiran sempadan Thailand-Kemboja.

PENYELESAIAN SECARA AMAN

Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa menekankan penyelesaian secara aman masih boleh dicapai antara kedua-dua pihak.

Beliau dalam sidang media kelmarin, mengarahkan wakil Thailand dalam Jawatankuasa Sempadan Bersama Thai-Kemboja untuk mengadakan mesyuarat di Kementerian Luar Negeri pada hari sama, bagi mempersiapkan rundingan dengan rakan sejawatan dari Kemboja, lapor Agensi.

Pertemuan itu membabitkan pertempuran antara tentera Thailand dan Kemboja di Chong Bok di Ubon Ratchathani pada 28 Mei lalu, katanya.

Maris berkata, beliau membincangkan isu itu dengan rakan sejawatannya dari Kemboja dan Perdana Menteri Kemboja, sama ada melalui telefon atau secara bersemuka dalam forum antarabangsa, baru-baru ini.

Katanya, kedua-dua pihak bersetuju bekerjasama bagi meredakan ketegangan serta menggunakan mekanisme sempadan sedia ada bagi menyelesaikan isu secara damai.

“Thailand dan Kemboja mempunyai hubungan rapat di peringkat kerajaan mahupun rakyat.

“Adalah penting mengelakkan keadaan daripada menjadi tegang, sebarang konflik serius tidak akan menguntungkan mana-mana pihak,” katanya.

Mengulas mengenai insiden 28 Mei, Maris menegaskan tindakan Thailand adalah selaras prinsip undang-undang antarabangsa dan bersifat sepadan dengan situasi.

PENUTUPAN PUSAT PEMERIKSAAN

Tentera Diraja Thailand menafikan dakwaan yang tersebar mengenai penutupan 16 pusat pemeriksaan sempadan dengan Kemboja.

Katanya, langkah itu hanya akan dipertimbangkan sekiranya terdapat ancaman keselamatan yang serius, terutama melibatkan senjata jarak jauh.

“Kami tidak menerima sebarang laporan mengenai penutupan pusat pemeriksaan sempadan,” katanya.

Beliau menegaskan, sebarang keputusan untuk menutup sempadan akan berdasarkan ancaman besar terhadap keselamatan negara.

Buat masa ini, situasi di sempadan berada dalam keadaan stabil serta sebarang isu kecil ditangani melalui perjanjian dua hala antara pihak berkuasa Thailand dan Kemboja.

Jurucakap kerajaan, Jirayu Houngsub pada Sabtu lalu berkata, Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra sedang memantau rapat situasi di sempadan dan menerima maklumat terkini daripada agensi keselamatan negara.

Perdana Menteri turut mengesahkan bahawa tiada arahan penutupan sempadan dikeluarkan.

Bahkan, urus niaga di pintu sempadan berjalan seperti biasa, dengan peningkatan aktiviti pelancong berikutan permulaan tempoh cuti panjang.

Laporan awal dalam talian mencadangkan persediaan untuk menutup enam pusat pemeriksaan sempadan tetap, 10 lintasan sementara dan pintu masuk pelancong di Preah Vihear serta Ta Muen Thom, berikutan ketegangan yang semakin meningkat.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat