Tengku Zafrul bukan tangkapan besar PKR, bantu ringan beban Umno

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bukanlah tangkapan besar bagi PKR.

Sebaliknya membantu meringankan beban Umno memandangkan banyaknya cerita campur tangan luar bersabit kemasukan beliau dalam politik dan pelantikannya sebagai Menteri Kewangan pada tahun 2020, kata Datuk A Kadir Jasin.

Tokoh wartawan itu malah menyeru semua untuk tunggu dan tengok sama ada lompatan Tengku Zafrul ini sekadar mencetuskan wayang ketoprak atau menyebabkan perang terbuka antara Umno dengan PKR.

“Adakah Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan sekadar meminta kuota Kabinet partinya dikekalkan atau beliau akan bantah penerimaan Tungku Zafrul oleh PKR?

“Adakah beliau akan mengutamakan maruah Umno atau menjaga talian hayat yang telah Datuk Seri Anwar Ibrahim berikan kepadanya? soal A. Kadir.

Mengulas lanjut berkait Tengku Zafrul, A Kadir berkata, walaupun beliau masuk Umno dan dilantik menjadi Senator dan seterusnya Menteri Kewangan oleh Perdana Menteri “kerajaan tebuk atap” Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun “adventure” politik beliau tidaklah cemerlang.

Menurut A. Kadir, Tengku Zafrul kalah Pilihan Raya Umum 2022 di tangan Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Amanah) tetapi menang pertandingan Majlis Tertinggi Umno tahun 2023.

“Imej beliau pun tidaklah secemerlang mana dalam dunia korporat. Beliau terkenal sebagai pelompat jawatan. Vitae kurikulum beliau sejak 1996 menunjukkan beliau telah 14 kali berpindah tempat kerja dan bertukar jawatan. Ertinya tidak sampai dua tahun dalam satu-satu jawatan.

“Sebagai seorang ahli kewangan, Tengku Zafrul tentulah sudah membuat perkiraan matematik dan analisis statistik mengena peluang antara terus kekal di dalam Umno dengan berpindah ke PKR.

“Dengan Umno beliau sudah dapat jadi Senator dan seterusnya Menteri. Tempoh Senator beliau akan tamat hujung tahun ini. Menjadi Menteri Kewangan adalah cita-cita yang tercapai. Ditukar kepada Menteri MITI adalah turun pangkat. Walaupun yang ambil alih jawatan Menteri Kewangan adalah Anwar sendiri, tetapi Tengku Zafrul tahu yang Anwar bukan pakar ekonomi atau kewangan. Lagi-lagilah pedih apabila Datuk Amir Hamzah Azizan, seorang teknokrat macam beliau, dilantik menjadi Menteri Kewangan Orang putih kata, “a slap in the face”,” katanya lagi.

A Kadir menambah, ada bermacam-macam ramalan liar dan teori konspirasi mengenai tindakan Tengku Zafrul itu.

“Ada yang kata beliau kurang yakin dengan kepemimpinan Umno dan Anwar telah janjikan sesuatu yang lebih baik. Akibatnya, timbullah spekulasi yang satu Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Selangor akan diorkestrasikan bagi membolehkan beliau menang mudah dan seterusnya dilantik menjadi Menteri Besar. Ini menyebabkan beberapa pihak dalam PKR, termasuk Menteri Besar yang ada sekarang, Datuk Seri Amirudin Shari, kepanasan dan menafikan spekulasi itu.

“Hakikat bahawa Tengku Zafrul memilih untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Umno dan menawarkan diri kepada PKR berlaku hampir serentak dengan peletakan jawatan Kabinet oleh Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad menyebabkan banyak orang nampak ada udang di sebalik batu dalam tindakan beliau itu.

“Kesimpulannya, setakat ini, sedikit sebanyak tindakan Tengku Zafrul telah memberi kesan kepada Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani, khususnya bersabit amalan lompat parti yang sedang cuba disekat. Apatah lagi apabila ia melibatkan parti Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri; antara guru dengan murid. Kita tunggu babak seterusnya,” ujar beliau.

Sementara itu A. Kadir juga berkata, Rafizi dan Nik Nazmi letak jawatan menteri atas dasar maruah dan perjuangan namun mereka kekal bersama parti mereka, PKR.

“Maruah kerana kalah pemilihan Majlis Pimpinan Pusat dan perjuangan kerana berasa PKR tidak lagi mengutamakan idealisme reformasi. Terbaru Rafizi tolak jawatan parti yang dicadangkan oleh Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

“Sekarang ini bukan mudah hendak letak jawatan macam itu saja. Banyak benda kena diambil kira. Antaranya bersih daripada perbuatan yang boleh disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Jadi, bolehlah kita andaikan yang Rafizi dan Nik Nazmi cukup yakin mereka tidak ada masalah macam itu. Maksudnya tidak ada bukti untuk diperas ugut atau digertak.

“Tengku Zafrul Tunku Abdul Aziz pula umum keluar Umno dan minta sertai PKR. Tetapi tidak macam Rafizi dan Nik Nazmi, Tengku Zafrul tidak meletak jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Sepatutnya, atas dasar moral, beliau wajib meletak jawatan kerana jawatan itu diperoleh sebagai ahli Umno dan mewakili parti tersebut.

“Jadi tidak hairanlah kalau ada pihak di dalam Umno yang mahu beliau mengosongkan jawatan itu bagi digantikan oleh seorang wakil Umno yang lain. Dengan tidak meletak jawatan, beliau menyumbang satu jawatan menteri kepada PKR dan Umno hilang satu kerusi Menteri. Setidak-tidaknya buat sementara waktu,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat