KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan kesukaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengisi kekosongan dua jawatan Menteri Kabinet yang dikosongan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga mencadangkan tiga nama Ahli Parlimen dari komponen PH yang layak untuk mengisi Kabinet bagi jawatan Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestrian Alam.
“Dari hari pertama Menteri letak jawatan lagi saya dah kata kena isi segera. Tapi penyokong-penyokong Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR ramai yang marah.
“Nah sekarang pakar-pakar ekonomi sendiri kata begitu juga. Kenapa susah sangat nak lantik ni?
“Saya dah kata, boleh ambil Datuk Seri Ramanan, Naib Presiden yang baru menang. Kalau perlu dari parti lain, Hulu Langat dan Jelutong pun okey,” saran Fadhli.
Sebelum itu, media melaporkan pakar ekonomi berpendapat dua jawatan menteri yang kosong susulan peletakan jawatan penyandangnya perlu diisi segera bagi memastikan tumpuan dalam menyelesaikan masalah rakyat dan berkaitan pembangunan tidak terjejas.
Pakar ekonomi berpendapat, dalam pelantikan Menteri Ekonomi yang baharu, ia bukan sahaja sesuatu yang mendesak menjelang pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), malah bagi mendepani cabaran ekonomi yang kritikal, susulan peningkatan kos sara hidup dan cabaran tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).
Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berkata Menteri Ekonomi ketika ini sepatutnya fokus kepada pelaksanaan dan pencapaian pelan ekonomi sedia ada, seperti kerangka Ekonomi Madani serta prestasi pelaksanaan Belanjawan 2025.
Pada 28 Mei lalu, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan mereka dalam Kabinet, masing-masing sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Sejak itu, polemik timbul berhubung keperluan untuk menggantikan tempat mereka, sama ada ia perlu dilakukan atau perlu membabitkan rombakan Kabinet besar-besaran.
Bagaimanapun, kelmarin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tiada keperluan mendesak untuk membuat rombakan Kabinet ketika ini dan dua jawatan menteri yang bakal kosong itu akan dipangku sementara oleh menteri lain.