Pengampunan Anwar sah, AGC sanggah Dr Mahathir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menyanggah dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pengampunan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018 adalah tidak sah.

Dalam satu kenyataan, AGC mengambil maklum berhubung kenyataan yang dibuat oleh Dr Mahathir mengenai pengampunan berkenaan, di mana bekas Ahli Parlimen Langkawi itu secara terbuka menyatakan bahawa keputusan pengampunan Anwar adalah tidak sah kerana tidak melalui suatu persidangan Lembaga Pengampunan.

“Jabatan ini menegaskan bahawa suatu Mesyuarat Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-51 telah diadakan pada hari Rabu 16 Mei 2018, jam 11.00 pagi, di Istana Negara Kuala Lumpur.

“Mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut telah dipengerusikan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V dan turut dihadiri antaranya oleh Tun Dr Mahathir sendiri selaku Perdana Menteri ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Dr Mahathir dalam satu klip video TikTok mendakwa bahawa beliau telah menandatangani surat pengampunan tanpa nasihat Peguam Negara pada waktu itu Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mengambil cuti rehat (garden leave) dan tanpa mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Menurut kenyataan itu lagi, atas nasihat Lembaga Pengampunan, Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V telah bertitah perkenan bahawa rayuan pengampunan penuh Anwar dibenarkan.

Bagaimanapun, bekas Peguam Negara telah menafikan tohmahan Dr Mahathir bahawa pengampunan yang diberikan kepada Anwar adalah satu kekhilafan.

“Walaupun pada masa itu, saya diarahkan bercuti (garden leave), saya telah pun mengemukakan pandangan saya selaku Peguam Negara kepada Lembaga Pengampunan berhubung dengan pengampunan tersebut.

“Saya juga telah menurunkan kuasa (delegate) kepada Peguam Cara 2, untuk mewakili saya, iaitu Datin Paduka Zawyah Bee Loth Khan untuk menghadiri mesyuarat pengampunan tersebut,” kata Apandi.

Mengulas lanjut, AGC menjelaskan Anwar diberikan pembebasan serta-merta berkuat kuasa mulai dari tarikh persidangan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Bagi tujuan mesyuarat tersebut, Peguam Negara juga telah memberikan pendapat bertulis mengenai perkara itu selaras dengan Fasal (9), Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan untuk pertimbangan Lembaga Pengampunan.

“AGC memandang serius perkara ini sebagai isu yang melibatkan kepentingan perlembagaan dan institusi. AGC juga menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat mengenai keputusan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar sama sekali,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat