Pemuda MCA Sanggah Tuduhan DAP Sebar Maklumat Palsu Isu LPG

- Advertisement -

CYBERJAYA – Pemuda MCA menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao, yang menuduh parti itu menyebarkan maklumat palsu berhubung isu subsidi gas petroleum cecair (LPG) untuk peniaga kecil.

Ketua Pemuda MCA Petaling Jaya, Andy Teoh Tuck Wah menyifatkan tuduhan wakil rakyat DAP itu sebagai tidak berasas, tidak bertanggungjawab, dan sekadar cubaan mengalihkan perhatian daripada keresahan sebenar rakyat.

“Pemuda MCA mengingatkan Puan Pang agar tidak membuat tuduhan semberono yang hanya menambah kekeliruan. Kami menerima aduan langsung daripada peniaga kecil yang terkesan dengan tindakan penguatkuasaan secara mengejut,” kata Andy dalam kenyataan hari ini.

Menurut Andy, kenyataan Pang bahawa MCA sengaja mencetuskan kekeliruan adalah tidak masuk akal kerana isu yang dibangkitkan berpaksikan aduan sebenar daripada peniaga kecil, khususnya penjaja makanan yang telah lama menggunakan tong LPG subsidi.

“Kami tidak mereka-reka isu. Realitinya, lebih 40,000 penjaja makanan bergantung kepada tong gas subsidi, dan ramai kini gusar apabila disiasat serta diugut dengan tindakan undang-undang, sedangkan tiada garis panduan rasmi dikeluarkan kerajaan,” katanya lagi.

Beliau turut memetik laporan media dan maklum balas dari persatuan penjaja makanan yang membuktikan keresahan ini bukan dibuat-buat, malah semakin meruncing susulan pelaksanaan Ops Gasak oleh pihak berkuasa sejak 1 Mei lalu.

Andy menegaskan bahawa Pemuda MCA membangkitkan isu ini demi kepentingan peniaga kecil dan bukan untuk meraih keuntungan politik. Beliau menggesa DAP agar tidak terus menuduh tanpa asas ketika rakyat menanti penyelesaian konkrit daripada kerajaan.

“Ini bukan soal MCA atau DAP, ini soal kelangsungan hidup penjaja kecil. Kita sepatutnya bersatu mencari jalan penyelesaian, bukan menuding jari,” tegasnya.

Kekeliruan timbul dalam kalangan peniaga kecil apabila kerajaan melaksanakan Ops Gasak bermula 1 Mei hingga 31 Oktober 2025, bagi membanteras penyelewengan subsidi LPG termasuk aktiviti ‘decanting’, penyeludupan, dan penggunaan oleh industri besar.

Walaupun kerajaan menegaskan ia bukan dasar baharu, Pemuda MCA berpendapat penguatkuasaan mendadak tanpa garis panduan yang jelas telah menjejaskan ramai penjaja kecil yang menggunakan tong LPG subsidi secara sah selama ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat