Kosongkan kerusi DUN Sungai Tua untuk Tengku Zafrul, itu hanya cakap kosong – MB Selangor

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan dakwaan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua miliknya akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah imaginasi dan cakap kosong individu tertentu.

Amirudin berkata, beliau secara peribadi mahu melengkapkan tugasnya pada penggal ini dengan sempurna dan damai.

“Setakat ini cakap-cakap itu masih lagi cakap kosong dan saya rasa individu terbabit ada imaginasi.
“Dia cuba letakkan imaginasi dia itu kepada awam melalui hantaran dikeluarkan di media sosial dan sebagainya.

“Ia bukan sesuatu yang mudah (untuk mengosongkan DUN Sungai Tua). Ia perlukan penelitian jitu dalam hal berkenaan,” katanya selepas Majlis Penyerahan E-Bike kepada Polis Selangor di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Selangor di Shah Alam pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Datuk Saipolyazan M Yusop.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, fokus penting sekarang adalah untuk meluruskan kepimpinan dan memberi tumpuan kepada beberapa isu mengenai keutuhan Kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Berhubung kekosongan itu (jawatan menteri), saya rasa itu kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan Kerajaan Perpaduan memutuskannya,” katanya.

Ditanya adakah beliau sudah ‘dirisik’ untuk jawatan menteri Persekutuan jika mengosongkan DUN Sungai Tua, Amirudin segera menafikannya.

“Setakat ini tak ada (risikan) kerana itu hanya cakap-cakap saja,” katanya.

Mengulas keinginan Tengku Zafrul menyertai PKR, Amirudin berkata, parti tidak boleh menafikan kecemerlangan ditunjukkan Tengku Zafrul sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai menteri.

“Kita berbesar hati beliau memilih wadah PKR sebagai wadahnya dan saya pernah sebutkan sebelum ini, adalah lebih baik dia menyertai rakan dalam gabungan.

“Sekurang-kurangnya, dia masih lagi memberikan sokongan dan juga kepakaran berbanding beliau menjadi pembangkang serta menyerang,” lapor BH pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan, Tengku Zafrul menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ketua Umno Bahagian Kota Raja dan ahli Umno berkuat kuasa serta-merta.

Selain itu, Tengku Zafrul turut mengesahkan sudah menyatakan hasrat menyertai PKR kepada Anwar dan Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh.

Spekulasi semakin hangat selepas berlaku dua kekosongan menteri Kabinet pada 28 Mei lalu susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat