KUALA LUMPUR- Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) memohon kerajaan menangguhkan pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 sehingga dua isu kritikal yang memberi impak terus kepada kelangsungan industri diselesaikan sepenuhnya.
Presiden PDAM Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, isu itu membabitkan keperluan melakukan semakan semula margin di Mekanisme Harga Automatik (APM) dan Kadar Diskaun Pedagang (MDR).
“Margin tetap APM sejak 2019 tidak mencerminkan kos semasa. Tanpa semakan margin, pengusaha kecil dan sederhana akan mengalami kerugian dari hari pertama pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Subsidi (SKPS).
“Isu MDR, caj MDR berdasarkan nilai jualan, manakala komisen pengusaha berdasarkan liter. Peningkatan harga pam akan meningkatkan MDR tetapi tidak meningkatkan komisen dan menghakis margin pengusaha,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ketika membentangkan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan subsidi bersasar RON95 tidak akan menjejaskan 85 peratus rakyat Malaysia.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pula berkata, kerajaan akan melaksanakan subsidi bersasar pada separuh kedua tahun ini dan ketika ini sedang memperincikan kaedah pelaksanaannya, kemungkinan menerusi penggunaan MyKad.
Sementara itu, Khairul Annuar berkata, PDAM beberapa kali memohon mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan sejak dua tahun lalu, namun sehingga kini belum diberi peluang berbuat demikian.
“Kami percaya penyelesaian konkrit hanya boleh dicapai melalui kepimpinan langsung dengan Perdana Menteri supaya kelangsungan industri pengusaha tempatan dan bekalan bahan api kepada rakyat tidak terjejas,” katanya.
Beliau berkata, petisyen industri yang dijalankan PDAM berjaya memperoleh lebih 2,300 tandatangan.
Buat kali pertama, katanya, PDAM mewakili lebih 60 peratus stesen minyak di Malaysia dan hampir 70 peratus stesen jenama utama, disertai pengusaha jenama tempatan seperti Five Petroleum, BuraqOil dan SmartStream.
“Sebagai satu-satunya persatuan yang mewakili industri selama lebih 40 tahun, kami tetap berpegang kepada prinsip kerjasama dan keterbukaan.
“PDAM bersedia bekerjasama dengan pihak ingin memperjuangkan kepentingan industri ini secara menyeluruh dan berfakta, tanpa mengelirukan orang ramai atau mempolitikkan isu sensitif,” katanya.