KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dilantik sebagai duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) menggantikan Datuk Seri Nazri Aziz yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 8 Februari lalu.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenan pelantikan Shahrul dan telah mengurniakan watikah dalam istiadat berlangsung di Istana Negara hari ini.
Menurutnya, istiadat itu turut dihadiri Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Shahrul yang berasal dari Pahang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Ekologi dari Universiti Malaya (UM) serta pernah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School, AS.
Beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai tadbir dan diplomatik di Kementerian Luar Negeri pada 1988 dan menjawat jawatan ketua setiausaha Kementerian Luar Negeri dari 6 Januari 2019 hingga 31 Mei 2022.
Sepanjang perkhidmatan selama kira-kira 35 tahun, Shahrul pernah ditauliahkan sebagai duta besar Malaysia ke Qatar, Austria dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York.
Semasa berkhidmat di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah dilantik sebagai timbalan ketua setiausaha hubungan dua hala, ketua pengarah sekretariat kebangsaan ASEAN-Malaysia
(semasa Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2015) dan setiausaha bahagian politik pelbagai hala.
Penugasan diplomatik beliau yang lain sebelum ini adalah termasuk di perwakilan Malaysia di Vienna, Austria; Washington D.C., Amerika Syarikat; dan Beijing, China.