KUALA LUMPUR – Tiga ahli Parlimen memohon untuk mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur sebagai pemerhati dalam permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan, antaranya isu imuniti.
Mereka ialah Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Kemaman Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Tiga ahli Parlimen pembangkang itu memfailkan permohonan berkenaan pada Ahad lalu.
Ia membabitkan kes saman sivil difailkan bekas pembantu penyelidik Ahli Parlimen Tambun itu, Muhammed Yusoff Rawther, 32, yang mendakwa telah diserang secara seksual empat tahun lalu.
Permohonan terbabit akan didengar di hadapan Hakim, Roz Mawar Rozain, pada Selasa, termasuk permintaan Anwar, 78, untuk menangguhkan perbicaraan kes saman di mahkamah tinggi berkenaan, sehingga prosiding di Mahkamah Persekutuan, selesai.
Hakim, Roz Mawar turut mengarahkan pihak-pihak berhujah mengenai peruntukan undang-undang yang dikaitkan dengan kekebalan Perdana Menteri daripada tindakan saman sivil, lapor Sinar Harian pada Selasa.
Berdasarkan notis difailkan firma guaman Tetuan Wan Jawahir & Takiyuddin, permohonan tiga Ahli Parlimen itu adalah bersandarkan peranan mereka selaku ahli Dewan Rakyat yang juga pihak berkepentingan.
Menurut notis itu, isu perundangan yang berbangkit dalam permohonan khususnya Perkara 39, 40, 43 dan 128(2) Perlembagaan Persekutuan, akan menjadi isu berkepentingan awam selain turut dibangkitkan dalam persidangan Parlimen.
Susulan itu, mereka memohon peguam, Tan Sri Azhar Azizan Harun, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Zulkifli Noordin, dibenarkan hadir sepanjang prosiding sebagai peguam pemerhati yang mewakili kesemua Ahli Parlimen berkenaan.
Pada 23 Mei lalu, Anwar memohon Mahkamah Tinggi untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan, sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil difailkan Muhammed Yusoff.
Menerusi permohonan yang difailkan oleh firma guamannya, Tetuan Zain Megat & Murad, minggu lalu, Anwar memohon agar Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.
Beliau turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.
Anwar juga mahu mahkamah menentukan sama ada prosiding saman tersebut melanggar haknya untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, terutamanya kerana beliau mendakwa saman tersebut merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.
Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada tahun 2021, mendakwa bahawa beliau telah diserang di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.
Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, selain faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Saman tersebut berkaitan kejadian yang didakwa berlaku sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.