PRU-15: PM Tak Perlu Gentar Desakan Kleptokrat – DAP

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu lebih tegas dan konsisten dalam pendiriannya sebagai seorang Perdana Menteri dan bertanggungjawab dalam sebarang kenyataannya,” kata Anthony Loke.

Setiausaha Agung DAP itu berkata demikian sebagai respons kepada wawancara Perdana Menteri dengan media Jepun, Nikkei yang disiarkan pada hari Isnin lalu.

“Perdana Menteri dengan jelas menyatakan bahawa pilihan raya tidak akan diadakan dalam masa terdekat kerana masalah inflasi sedang melanda dan isu kos sara hidup rakyat perlu ditangani.

“Namun, dalam masa 48 jam sahaja, beliau telah menukar nada semasa berucap di Konvensyen Barisan Nasional (BN) pada Rabu dengan mengatakan bahawa beliau tidak akan menunggu satu saat lebih untuk membubarkan Parlimen sekiranya BN sudah bersedia selepas diasak dan ditekan oleh kluster kleptokrat untuk membubarkan Parlimen,” bidas Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban.

Menurut beliau lagi keputusan untuk menasihati Yang Di Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen adalah budi bicara Perdana Menteri.

“Keputusan yang begitu penting ini tidak seharusnya dipengaruhi oleh pihak yang tidak berkaitan yang hanya mementingkan survival politik mereka.

“Perdana Menteri perlu memberi mesej politik yang lebih jelas kepada rakyat dan dunia luar,” saran beliau.

Sekiranya beliau benar-benar ingin menangani isu inflasi daripada memanggil pilihan raya dalam tempoh terdekat, maka beliau sebagai Perdana Menteri perlu mencari konsensus merentasi parti supaya seluruh fokus nasional menjurus kepada agenda membantu rakyat, kata Loke.

“Saya ingin menegaskan bahawa DAP tidak pernah bimbang untuk menghadapi pilihan raya.

“Sekiranya Parlimen dibubarkan, DAP bersedia bersama rakan-rakan Pakatan Harapan (PH) untuk masuk gelanggang dan berkempen sekuat mungkin.

“Pokoknya, Perdana Menteri perlu konsisten dan tegas dalam pendiriannya. Kenyataan dan mesej yang “flip-flop” hanya akan menimbulkan ketidakstabilan politik yang berlanjutan dan akan memudaratkan lagi keadaan ekonomi negara,” kata beliau.