Pengiktirafan Sebagai Negara Islam Autentik Bolehkan Malaysia Nikmati Pelbagai Keistimewaan

PEKAN – Pengiktirafan tertinggi kepada Malaysia sebagai sebuah negara Islam autentik membolehkan negara menikmati pelbagai keistimewaan dari sudut agama dan ekonomi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebagai contoh, beliau merujuk kepada pengiktirafan diterima daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, yang menambah bilangan kuota haji rakyat Malaysia dan memberi maklum balas positif kepada permohonan Malaysia membina dua kompleks jemaah haji di Makkah dan Madinah.

Dari sudut ekonomi, Najib berkata persetujuan Saudi Aramco membuat pelaburan RM31.08 bilion dalam Projek Pembangunan Loji Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor akan memberi suntikan modal kepada Malaysia selain penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Malaysia.

“Baginda (Raja Salman) boleh memilih mana-mana negara, tetapi mengapa baginda memilih Malaysia? Inilah yang patut kita tanya dan jawapannya adalah kerana apa yang kita amalkan di sini.

“Apa yang kita lakukan atas nama Islam, dasar-dasar kita yang dianggap sebagai modul Islam yang terbaik sekali. Kita mendapat pengiktirafan sebagai negara Islam autentik dan pendekatan wasatiyyah (sederhana). Itulah yang dipandang tinggi baginda (Raja Salman).

“Dari segi Islam kita untung dan dari segi ekonomi negara juga untung,” katanya semasa berucap merasmikan majlis penutupan Ijtimak Kepimpinan Organisasi Islam dan penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau dalam kawasan Parlimen Pekan di Dewan Amphiteater UMNO Pekan di sini hari ini, yang disertai 723 peserta, lapor Bernama.

Turut hadir Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang Datuk Mohamad Noor Abdul Rani dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang Datuk Seri Ishak Muhamad.

Najib berkata pengiktirafan itu juga membolehkan beliau berpeluang menjadi antara lima daripada 51 pemimpin negara yang diberi peluang menyampaikan ucap tama semasa menghadiri Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab-Islam-Amerika Syarikat di Riyadh, baru-baru ini.

“Saya menjadi pembahas yang terakhir untuk menyampaikan ucapan atas nama negara. Ini adalah berikutan daripada lawatan Raja Salman ke Malaysia (dari 26 Feb hingga 1 Mac lepas) dan daripada lawatan itu, Malaysia mendapat layanan dan pertimbangan yang istimewa,” katanya.

Selain itu, perdana menteri berkata ekonomi negara juga semakin baik yang kemudiannya ‘dipulangkan semula kepada rakyat’ seperti pembayaran bonus hari raya sebanyak RM500 kepada penjawat awam dan RM250 kepada pesara kerajaan serta bayaran pusingan kedua Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 5 Jun ini.

Najib yang merupakan anggota Parlimen Pekan menambah nikmat ekonomi itu turut ‘dirasai penduduk Pekan’ apabila bantuan kepada masjid ditambah menjadi RM1,500 daripada RM1,200, manakala bantuan kepada surau pada tahun ini berjumlah RM1,000 berbanding RM700 sebelum ini.

“Alhamdulillah, kita (mendapat) banyak rezeki dan ini berkat kita semua bersatu-padu, bantu-membantu, semangat ukhuwah, kita tidak bergaduh sesama sendiri dan tidak pulau-memulau sesama kita… bila kita tunjukkan kelakuan yang baik, Allah akan balas dengan rezeki yang bertambah kepada kita semua,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 60 masjid dan 166 surau menerima bantuan terbabit manakala Abdul Azeez turut menyampaikan sumbangan daripada Kelab Putera 1Malaysia berupa kurma dan air zam-zam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.