Pemandu Van Pelajar Tahfiz Tiada Lesen Memandu

KUALA KRAI – Pemandu van Tahfiz Al Hashimi yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan tujuh pelajar di KM55 dekat Kampung Telekong, di sini semalam, tidak mempunyai lesen memandu.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Zulkarnain Ismail Al Haj, berkata pemandu, Muhammad Hamzi Mohammad Husham, 24, tiada rekod kesalahan trafik.

Malah katanya, hasil ujian saringan air kencing juga negatif.

“Hasil siasatan awal mendapati, pemandu van jenis Maxus V80 itu dipercayai tiba-tiba hilang kawalan ketika di lokasi kejadian selepas memotong sebuah kenderaan di hadapannya.

“Apabila pemandu van terbabit masuk semula ke laluannya, secara tiba-tiba van berkenaan hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh sebuah rumah yang berada di sebelah kanan jalan,” katanya dipetik BH Online.

Semalam tujuh pelajar tahfiz dilaporkan maut selepas van yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh sebuah rumah.

Lima pelajar yang meninggal dunia di lokasi ialah Mohamad Hafiz Aimullah Mustafa, 18; Muhamad Rahman Rozali, 17; Nik Shah Jehan Nik Azmi, 16; Nik Ahmed Daniel Nik Ahmed Rithaudeen, 14, dan Sarifuddin Muhammad, 14, (Thailand).

Manakala Ahmad Farhan Zulkifli, 14, dan Muhammad Hakimi Muhammad Dahalan, 17, meninggal dunia di Hospital Kuala Krai (HKK).

Kemalangan itu juga menyebabkan lima lagi pelajar tahfiz dan dua guru pengiring parah.

Mereka kini dirawat di HKK dan Hospital Machang. Mereka ialah Ahmad Syakir Azfar Abd Rahim, 16; Muhammad Faiz Hafizuddin Mohamad Izahir, 17; Muhammad Aidil Ismail, 14; Muhammad Syuwari Manasikana, 14; Muhammad Nur Haikal Fauzi, 14; Muhammad Hamzi Muhammad Husham, 24; dan Muhammad Izzat Muhammad Nor, 24.

Mereka dilaporkan sedang dalam perjalanan ke program Tafsir al-Quran di Madinah Ramadan bagi membaca dan tafsir al-Quran sempena Ramadan. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.