Pelajar UTP dan UniKL Edar Sahur Untuk Golongan Gelandangan

IPOH — Lebih 100 sukarelawan terdiri daripada pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) menyertai #projeksahurwithomeles yang diadakan sekitar bandar raya ini, awal pagi tadi.

Projek yang masuk tahun ketujuh penganjuran itu turut melibatkan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Ipoh Halal Food (IHF), Love On The Street (LOTS) dan Nasi.Lemak.Lah selain dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bermula 11.45 malam sehingga 3 pagi.

Pengasas projek Zeti Shuhaila Mustafa Kamal berkata 50 bungkus makanan diedarkan kepada sebilangan gelandangan yang terdapat di beberapa kawasan seperti di Medan Selera Taman Kanak-Kanak, Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Kinta Heights.

Katanya, objektif utama projek tersebut dijalankan bukan hanya bertujuan membantu golongan kurang bernasib baik, sebaliknya memberi peluang kepada para belia terlibat untuk mendekatkan diri dengan golongan tersebut.

“Kami nak mereka tahu bahawa gelandangan ini memerlukan sokongan dan bagi saya selagi kita tak turun ke lapangan dekati mereka, kita takkan tahu apa penyebab mereka jadi begitu.

“Untuk pengetahuan masyarakat juga, bukan semua gelandangan ini terdiri daripada bekas banduan atau penagih dadah. Ada kalangan mereka mempunyai kerjaya cuma tidak mampu mendapatkan kediaman lebih baik,” katanya kepada pemberita di sini.

Zeti Shuhaila berkata pihaknya berharap akan lebih banyak NGO sekitar Perak membantu golongan gelandangan kerana mereka amat memerlukan sokongan daripada masyarakat.

Sementara itu, pelajar UTP, R. Pavithra 19, berkata dia sangat terharu dan tidak menyangka masih terdapat golongan gelandangan di kawasan sekitar Ipoh.

Pelajar jurusan kejuruteraan tahun satu itu, turut menjelaskan projek berkenaan memberi peluang kepadanya untuk menyantuni gelandangan dengan lebih dekat.

“Ini kali pertama saya sertai program seumpama ini dan apa yang boleh saya simpulkan adalah semua manusia itu sama, selain tiada sebab untuk kita meminggirkan mereka yang amat memerlukan sokongan daripada kita,” katanya. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.