Najib Ucap Takziah Nahas Korbankan 7 Pelajar Tahfiz

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan rasa sedih beliau atas tragedi yang meragut nyawa tujuh pelajar tahfiz dalam satu kemalangan di Kuala Krai, Kelantan, pagi semalam.

“Saya sedih mendapat tahu bahawa tujuh pelajar tahfiz kehilangan nyawa dalam kemalangan di Kelantan pagi tadi. Takziah kepada keluarga mangsa. Al-Fatihah,” kata Najib dalam catatan di laman Twitter rasmi beliau, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, sebuah van yang membawa 12 pelajar dan dua guru pengiring dari Maahad Tahfiz Al-Hashimi Kampung Tualang terbabas sebelum merempuh sebuah rumah penduduk di Kilometer 55 Jalan Kuala Krai-Kota Bharu.

Tujuh pelajar tahfiz terkorban manakala tujuh lagi cedera termasuk lima daripadanya parah.

Mereka yang terkorban ialah Muhammad Hakimi Muhammad Dahalan, 17; Ahmad Farhan Zulkifli, 14; Mohamad Hafiz Aimullah Mustafa, 18; Muhammad Rahman Rozali, 18; Nik Shah Jehan Nik Azmi, 16; Nik Ahmed Daniel Nik Ahmed Rithaudeen, 14, dan seorang pelajar warga Thailand, Sarifuddin Muhammad yang belum diketahui umurnya.

Sementara itu, di Kuala Krai, tiga jenazah pelajar tahfiz terbabit dikebumikan dalam satu liang lahad di Pusat Tahfiz Al-Hashimi, Kampung Tualang pada pukul 11.25 malam tadi.

Jenazah Mohamad Hafiz Aimullah Mustafa, 18, Nik Shah Jehan Nik Azmi, 16 dan Muhammad Hakimi Muhammad Dahalan, 17, sebelum itu disembahyangkan di masjid pusat tahfiz berkenaan selepas dibawa keluar secara berasingan daripada Jabatan Forensik Hospital Kuala Krai bermula pukul 9.30 malam tadi.

Jenazah Nik Ahmed Daniel Nik Ahmed Rithaudeen, 14, yang sebelum ini dikatakan akan dikebumikan bersama rakan-rakannya itu bagaimanapun dituntut oleh ibu bapanya yang baharu tiba dari Shah Alam, Selangor kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

Mangsa akan dikebumikan di kampung halamannya di Panji, Kota Bharu.

Sementara itu jenazah Muhammad Rahman Rozali, 18, dibawa pulang ke kampungnya di Kampung Tok Dor Soh, Bachok, jenazah Ahmad Farhan Zulkifli, 14, dibawa pulang ke Dabong di sini manakala seorang pelajar warga Thailand, Sarifuddin Muhammad, 14, dibawa pulang ke Pattani.
Suasana sayu dan pilu menyelubungi perkarangan pusat tahfiz sebaik ketiga-tiga jenazah pelajar itu tiba dan ketika pengebumian berlangsung.

Puluhan penduduk, para pelajar tahfiz dan anggota keluarga mangsa turut menyaksikan ketika ketiga-tiga jenazah diturunkan ke dalam liang lahad ketika hujan renyai-renyai.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.