Apakah Trump Akan Sekat Testimoni Comey? Rumah Putih Tak Tahu Lagi

Para pegawai Rumah Putih berkata pada hari Jumaat bahawa mereka tidak tahu lagi sama ada Presiden Donald Trump akan berusaha untuk menyekat bekas Pengarah FBI James Comey daripada memberi keterangan kepada Kongres minggu depan, satu langkah yang boleh mencetuskan tindak balas politik.

“Saya belum bercakap dengan peguam lagi. Saya tidak tahu bagaimana mereka akan respons,” kata jurucakap Rumah Putih, Sean Spicer kepada pemberita.

Comey mengetuai Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyiasat dakwaan campur tangan Rusia dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat tahun lepas dan kemungkinan wujud pakatan sulit oleh kempen Trump, apabila presiden memecatnya bulan lalu.

Pengkritik mendakwa Trump mahu menghalang siasatan FBI dengan memecat Comey.

Bekas pengarah FBI itu dijadual memberi keterangan pada hari Khamis di hadapan Jawatankuasa Perisikan Senat sebagai sebahagian daripada siasatannya sendiri berhubung dakwaan berkaitan dengan Rusia itu.

Comey dijangka akan ditanya mengenai perbualan di mana presiden dilaporkan memberi tekanan kepada beliau untuk menggugurkan siasatan terhadap bekas penasihat keselamatan negara Trump, Michael Flynn, yang mana hubungannya dengan Rusia sedang diteliti.

Pengkritik berkata, tekanan itu berpotensi dianggap sebagai menghalang keadilan.

Presiden boleh menggunakan keistimewaan eksekutif untuk menghalang kakitangan kerajaan daripada berkongsi maklumat.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.