Pencarian Pesawat MH370 Tidak Akan Diperluaskan – Australia

SYDNEY – Pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 tidak akan diperluaskan dari kawasan semasa melainkan ada petunjuk khusus baharu, menurut pihak berkuasa Australia.

 

Pada April, lebih setahun selepas pesawat berkenaan hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal, Malaysia, Australia dan China mengumumkan zon pencarian akan digandakan.

 

Ini menjadikan kawasan pencarian di selatan Lautan Hindi oleh tiga kapal khas kepada 120,000 kilometer persegi.

 

Bagaimanapun, menurut Pusat Koordinasi Agensi Bersama Australia (JACC), pencarian pesawat yang hilang itu tidak akan diperluaskan lagi.

 

“Tanpa maklumat sahih baharu yang boleh menjurus kepada penentuan lokasi khusus pesawat itu, ketiga-tiga kerajaan bersetuju bahawa tiada lagi perluasan kawasan pencarian di laut itu,” menurut kenyataan JACC.

 

Usaha mencari pesawat yang hilang pada 8 Mac tahun lalu itu amat rumit dengan Australia pada mulanya menumpukan ke kawasan lautan seluas 60,000 kilometer persegi di pantai barat negara itu.

 

Lebih daripada 50,000 kilometer persegi kawasan dasar laut sudah diimbas tetapi tiada tanda-tanda pesawat berkenaan. – AFP/BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.