Pemimpin, Ahli PAS Setia Parti Lain Dipersila Keluar Parti

GOMBAK – Wakil Dewan Ulama Pulau Pinang, Muhammad Hanif Harun mencadangkan supaya ahli Pas yang wala kepada parti dan pemimpin lain agar keluar dari parti berkenaan.

 

Beliau mendakwa, ada juga di kalangan pemimpin Pas yang menolak prinsip Islam yang dibawa oleh parti itu sendiri.

 

“Perkara ini jelas apabila kita bawa isu hudud dan isu berkaitan prinsip ada dalam kalangan pemimpin kita tidak setuju.

 

“Ini adalah salah satu perkara yang dilihat lemah dalam kepimpinan kita terutama dalam memahami prinsip yang telah diperkenalkan oleh Pas,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, hari ini.

 

Beliau berkata, tahaluf siyasi wajar dikaji dan dinilai semula disebabkan oleh beberapa permasalahan yang berlaku.

 

“Saya rasa perwakilan hari ini menantikan perbincangan mengenai tahaluf siyasi kerana beberapa siri konflik yang berlaku.

 

“Kami (Pas) Pulau Pinang ada pengalaman tersendiri untuk dikongsikan kerana sebagai sebuah negeri yang diperintah oleh PR, DAP dan PKR tetapi Pas disisihkan,” katanya.

 

Beliau berkata,  tahaluf siyasi sepatutnya difahami dengan kerjasama antara dengan parti lain dalam keadaan tidak menggadaikan prinsip parti itu sendiri

 

Dalam pada itu beliau turut menggesa  Angkatan Muda keadilan (AMK) menarik balik tuduhan mereka terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

“Kita tidak pernah sentuh batang tubuh ketua mereka. Bila kita suruh minta maaf kepada tuan guru presiden (Abdul Hadi) mereka cakap sudah minta maaf.

 

“Mana boleh minta maaf belakang-belakang. Sudah malukan orang di khalayak ramai, sepatutnya mereka memohon maaf secara terbuka,” katanya. – SInar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.