Pelajar Sekolah Maut Dipercayai Jangkitan Kencing Tikus

SEREMBAN – Seorang pelajar Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar, Ampangan di sini, meninggal dunia, Jumaat lalu dipercayai akibat terkena jangkitan virus kencing tikus (Leptospirosis) selepas mengikuti perkhemahan sekolah awal bulan lalu.

 

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, berkata mangsa meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini.

 

“Seramai 50 pelajar sekolah itu mengikuti perkhemahan di sebuah kem di Hutan Lipur Serting Ulu di Jempol (dekat sini) pada 8 hingga 10 Mei lalu.

 

“Sehingga 1 Jun lalu, sebanyak 15 orang menunjukkan gejala demam, sakit kepala, sakit sendi dan otot serta batuk dengan 14 daripada mereka diberikan rawatan pesakit luar di klinik kesihatan sebelum dibenarkan pulang.

 

“Bagaimanapun seorang pelajar Tingkatan Lima dimasukkan ke HTJS pada 25 Mei lalu dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami komplikasi serta kegagalan organ utama dipercayai akibat Leptospirosis dan meninggal dunia Jumaat lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Katanya, sampel klinikal yang diambil daripada mangsa sudah dihantar untuk ujian makmal dan pihaknya masih menunggu keputusan sama ada kematiannya berpunca daripada Leptospirosis. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.