Parti Politik, NGO Melayu Islam Bantah Penganjuran Program ‘Johor For Jesus’

JOHOR BAHARU – Sehingga semalam pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dilaporkan telah menerima 22 laporan daripada pelbagai pihak yang tampil membantah penganjuran program berunsur keagamaan yang dipercayai ada kaitan dengan gerakan Kristianiti di negeri ini.

 

Semua laporan itu dibuat berikutan penyebaran trailer video yang mempromosikan penganjuran festival MforJ2015 Take Possession of The Land Kingdom Conference, Festival of God’s Power dan Church Family Camp 2015 yang tersebar di laman sosial sejak dua hari lalu.

 

Menurut Ketua Polis Johor Datuk Rusli Ahmad, 12 laporan polis yang diterima itu datangnya dari pihak UMNO, laporan selebihnya  dibuat oleh 10 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu di tiga lokasi berbeza negeri ini.

 

“Setakat pukul 5.30 petang, lima laporan diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Baharu Selatan, IPD Johor Baharu Utara (lima), IPD Kluang (tiga), IPD Segamat (enam), IPD Mersing (satu) manakala IPD Kota Tinggi (dua),” katanya dipetik dari laman Bernama.

 

Berikutan itu, Rusli memberitahu pihak polis akan menjalankan siasat terperinci berkaitan penganjuran program ‘Johor For Jesus’ dan klip video itu dengan bantuan dan kerjasama Jabatan Agama Islam Johor.

 

Laporan Polis - isu Johor For Jesus

TIMBALAN Pengerusi Majlis Belia Daerah Segamat, Mohd. Nor Saidil (lapan dari kanan) bersama ahli Pemuda UMNO Bahagian Sekijang dan Segamat menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat berhubung Festival Of Gods Power di pekarangan Ibu Pejabat Polis Segamat, Johor, semalam.

 

Menurut beliau lagi, penganjur festival tersebut sudah dipanggil bagi memberikan penjelasan berkaitan penganjuran program tersebut yang mendakwa festival itu yang sepatutnya diadakan di sebuah premis di bandara raya Johor Baharu telah dibatalkan.

 

Bagaimana pun penganjur dilaporkan akan meneruskan program tersebut yang dijadualkan berlangsung di sebuah hotel di sini selepas mendapat kebenaran pihak hotel dan dilakukan secara tertutup.

 

“Polis sudah memberikan nasihat kepada penganjur supaya tidak melampaui batas dan mengikut undang-undang ditetapkan,” katanya.

 

Dalam perkembangan yang sama, Pergerakan Pemuda UMNO Tebrau turut tampil membuat laporan berhubung penganjuran tersebut di Balai Polis Dato Onn di sini pada 2.57 petang semalam.

 

“Kita harap pihak penganjur ubah suai pelaksanaan program supaya jangan sampai program yang mahu dibuat itu menggangu gugat keharmonian agama lain dan bangsa Johor.

 

“Kita juga desak pihak berkuasa tempatan yang memberi permit penganjuran supaya teliti sebelum memberi kebenaran. Jangan sesekali menggunakan isu-isu sensitif dan diprovokasikan,” kata Syahrin Md Jamaludin yang juga Ketua Pemuda UMNO Tebrau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.