KUALA LUMPUR, – Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR menegaskan bahawa keputusan menangguhkan pemilihan pimpinan pusat yang dijadual berlangsung hujung minggu ini tidak ada kaitan dengan cuti yang diambil Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustafa berkata, penangguhan itu dibuat susulan proses audit kedua terhadap keputusan pemilihan di lima cabang yang masih berjalan.
“Ini adalah isu pematuhan dan keperluan audit, bukan berkait dengan mana-mana individu dalam parti,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Lima cabang yang sedang diaudit ialah Shah Alam, Johor Bahru, Setiawangsa, Puchong dan Jelutong. PKR telah melantik juruaudit antarabangsa bagi memastikan ketelusan dan integriti keputusan pemilihan.
Dr Zaliha turut menjelaskan bahawa pindaan kepada perlembagaan parti turut memberi kesan terhadap senarai perwakilan ke Kongres Nasional yang bakal berlangsung hujung Mei ini. Menurut pindaan tersebut, senarai perwakilan kini ditentukan mengikut peratusan undi yang diperoleh oleh calon ketua cabang, bukan lagi berdasarkan sistem menang semua.
Pemilihan peringkat pusat dijadualkan semula selepas penamaan calon pada 8 dan 9 Mei, manakala Kongres Nasional PKR akan bermula pada 23 Mei 2025.