CYBERJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa prinsip Rule of Law atau pemerintahan berasaskan undang-undang mesti dihormati dan dipatuhi oleh semua pihak termasuk individu, institusi, serta kerajaan, demi kestabilan dan keselamatan negara.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, bekas Perdana Menteri itu merujuk kepada beberapa contoh antarabangsa berhubung pelaksanaan undang-undang terhadap pemimpin tertinggi negara, termasuk tindakan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap Israel, serta prosiding undang-undang yang dihadapi oleh Presiden Filipina dan Presiden Korea Selatan.
“Israel telah dihukum oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana melakukan pembunuhan beramai-ramai yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa. Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu, didapati bersalah dan dihukum,” kata Dr. Mahathir.
Beliau turut menyebut bahawa Presiden Filipina telah dituduh melakukan jenayah pembunuhan di luar proses perundangan (extra judicial execution) dan kini sedang ditahan untuk menghadapi perbicaraan, manakala Presiden Korea Selatan pula akan dihadapkan ke mahkamah kerana mengisytiharkan undang-undang tentera.
Menurut Dr. Mahathir, semua tindakan tersebut mencerminkan pelaksanaan Rule of Law yang menjadi asas kepada keadilan dan ketertiban dalam sesebuah negara.
Mengulas mengenai Malaysia, beliau menegaskan bahawa negara ini telah memilih sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan ketika mencapai kemerdekaan, dan prinsip ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara.
“Sesuatu yang bercanggah dengan Perlembagaan adalah salah dan tidak boleh dilaksanakan. Jika dilaksanakan juga, ia boleh dirujuk ke mahkamah dan dibatalkan,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan undang-undang mesti mengikut proses yang ditentukan (due process) bagi memastikan kesahihan sesuatu keputusan dan pelaksanaan dasar.
“Sesungguhnya undang-undanglah yang menstabil dan menyelamatkan masyarakat serta negara,” tegas Dr. Mahathir dalam kenyataan penutupnya.