Program Gabungan Rakan Entrepreneur Aspirasi Terhebat (GREAT) Buka Peluang Pada Usahawan Tempatan

PUTRAJAYA – Program Gabungan Rakan Entrepreneur Aspirasi Terhebat (GREAT) 2017 yang akan berlangsung pada 6 dan 7 Mei ini di Kota Kinabalu, Sabah, membuka peluang dan akses untuk program keusahawanan yang lebih meluas kepada usahawan tempatan.

Ketua Pembangunan Keusahawanan Nasional Kementerian Kewangan, Zahrain Mohd. Nor berkata, GREAT 2017 yang diadakan di dua lokasi iaitu Magellan Sutera Harbour dan Hotel Pacific Sutera Habour itu merupakan perhimpunan terbesar para usahawan dan pelabur di Sabah.

Beliau berkata, program anjuran bersama Kementerian Kewangan, Kerajaan negeri Sabah dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) itu bertujuan untuk melengkapkan ekosistem keusahawanan selain memperhebat dan melonjakkan sektor keusahawanan ke tahap yang lebih baik.

“Saya amat yakin GREAT 2017 yang diadakan di Sabah pada Mei ini dapat melonjakkan pertumbuhan pendapatan usahawan di negeri itu dengan tumpuan kepada enam sektor iaitu pertanian, seni dan budaya; keusahawanan sosial, teknologi, pelancongan serta usahawan wanita.

“Antara objektif program GREAT 2017 ialah untuk menghapuskan jurang antara usahawan dengan kerajaan, agensi dan sektor swasta yang lain, seterusnya memberi lebih banyak ruang pasaran kepada mereka untuk mengembangkan perniagaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Zahrain, pihaknya berharap agar para usahawan dapat menyertai program dan aktiviti yang disediakan serta menggunakan sepenuhnya peluang yang ada bagi meningkatkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih baik.

“Acara selama dua hari itu merangkumi pelbagai bengkel, seminar dan program yang diadakan khas untuk perkongsian maklumat dan pengalaman selain meluaskan kenalan profesional dan juga untuk memudahkan akses kepada lebih 50 agensi-agensi kerajaan yang berkaitan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zahrain ber­kata, GREAT yang bakal di­rasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 6 Mei ini merupakan satu contoh Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dilancarkan untuk membina ekosistem keusahawanan negara yang kukuh dan dinamik.

“Kita menyasarkan untuk menarik kehadiran sebanyak 5,000 pengunjung sepanjang dua hari program berlangsung dan program ini menjadi landasan terbaik para usahawan di Sabah yang bercita-cita tinggi untuk berinteraksi dengan usahawan yang sudah berjaya,” katanya.

Katanya, selepas Cyberjaya pada 2014 dan Kuching, Sarawak tahun lalu, Sabah dipilih sebagai tuan rumah kali ini berdasarkan pembangunan ekonominya yang kukuh dan dinamik serta mempunyai bakat-bakat usahawan muda yang inovasi dan berpotensi ,

“Selain daripada industri pelancongan, industri perikanan dan pertanian yang menguasai struktur negeri (Sabah) ini, peningkatan yang ketara dapat dilihat dalam industri pengangkutan, infrastruktur, runcit serta perhotelan, sekali gus membawa kepada kepelbagaian ekonomi serta membuka peluang baharu dalam industri lain.

“Kerajaan negeri juga mengalu-alukan pembangunan perniagaan baharu dan aktif menggalakkan usahawan untuk menceburi pelbagai bidang ekonomi dalam usaha meningkatkan kuantiti dan kualiti usahawan di Sabah dan Malaysia secara amnya,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu katanya, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terperinci mengenai GREAT 2017 seperti pendaftaran program, senarai nama pence­ramah dan aktiviti terbuka, boleh melayari lawan web www.2017.gogreat.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.