Kata-Kata #QalifModen Fattah Amin Meraih Kategori Buku Popular di Anugerah Buku Negara 2017

KUALA LUMPUR – Buku 99 Kata-Kata #QalifModen Fattah Amin yang menimbulkan kontroversi sebelum ini akhirnya berjaya meraih kategori Buku Popular di Anugerah Buku Negara 2017.

Penulis buku itu Fattah, berkata, dia tidak mengjangkakan buku yang menerima pelbagai kritikan itu diiktiraf sebagai paling popular pada anugerah berkenaan.

“Saya tidak mengjangkakan buku pertama saya menerima penganugerahan pada malam ini.

“Alhamdulllah, sejak dikeluarkan ia sudah terjual 5,000 naskhah. Biarpun menerima banyak kecaman, bagi saya ia satu publisiti yang telah mempopularkan buku ini,” ujarnya kepada mStar Online.

Fattah, 27,  diminta mengulas buku berjudul 99 Kata-Kata #QalifModen Fattah Amin yang dianugerahkan trofi Buku Popular pada Anugerah Buku Negara 2017 yang diadakan di Hotel Sri Pacific, di sini, malam Selasa.

Pelakon drama Suri Hati Mr Pilot itu merupakan artis pertama yang menerima anugerah di acara yang memberi pengiktirafan kepada penulis-penulis buku.

Tambahnya, dia juga bakal menerbitkan buku tersebut dalam versi bahasa Inggeris tidak lama lagi.

Salah satu petikan daripada buku tersebut yang berbunyi: “Aku dulu selalu berangan nak gi KLCC nak bawak kereta aku sendiri dan parking Valet. Ternyata kini telah termakbul hahh…. kelakar kan” telah dipersendakan sehingga menjadi tular di laman sosial.

Sementara itu, Fattah berkata, dalam perkembangan yang sama, dia baharu sahaja melancarkan novel Wanita Terakhir pada Sabtu lalu.

Novel hasil tulisan novelis terkenal Ezza Mysara itu merupakan hasil terjemahan Fattah berdasarkan lagu dengan judul yang sama.

“Ini adalah kali kedua saya bekerjasama dengan syarikat Idea Kreatif, ia sudah pun habis dijual pada pesta buku di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan akan diulang cetak.

“Buku itu bukan saya yang tulis tapi ia berdasarkan lagu saya Wanita Terakhir,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.