Proses Pengundian Awal PRN Sarawak Berjalan Lancar

KUCHING – Sejumlah 31 peratus pengundi awal yang layak mengundi bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) ke-11 telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat jam 11 pagi tadi.

 

Ketika ini proses pengundian awal sedang berlangsung di 79 pusat pengundian di seluruh negeri selepas dibuka bermula pukul 8 pagi tadi.

 

Sehingga kini proses pembuangan undi dilaporkan lancar dan terkawal.

 

Ia membabitkan 24,604 pemilih terdiri daripada anggota keselamatan serta pasangan masing-masing.

 

Pusat pengundian akan ditutup pada pukul 5 petang nanti.

 

Sementara itu sejumlah 7,050 anggota tentera dan pasangan layak mengundi di Dewan Undangan Negeri Stakan.

 

Sehingga pukul 10 pagi tadi, kira-kira 21 peratus anggota tentera dan pasangan telah mengundi di Kem Penrissen, Kota Samarahan.

 

Proses mengundi awal di Sarawak utara, khususnya di Miri, turut dilaporkan berjalan lancar pagi ini.

 

Di Miri, antara lokasi pengundian awal adalah di Kem Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 12.

 

Antara yang hadir meninjau perjalanan proses pengundian awal adalah Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

 

Kesemua kertas undi itu hanya akan dikira mulai jam 4 petang pada hari pengundian biasa 7 Mei ini.

 

Pada PRN kali ini, 1,138, 650 pemilih layak membuang undi Sabtu ini.

 

PRN-11 menyaksikan perebutan 82 kerusi Dun termasuk 11 kerusi baharu.

 

Pada hari penamaan calon 25 April lalu, BN menang tanpa bertanding di Bukit Kota melalui penyandang Abdul Rahman Ismail dan kerusi Dun Bukit Sari oleh penyandang Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!