Warga Emas Hampir Pecah Kepala, Anak Sendiri Pukul Dengan Botol Kaca

Besut – Seorang bapa dipukul dengan botol hanya kerana tidak melayan pertanyaan anaknya itu mengenai tempat letak gelas di rumah mereka dalam kejadian di Kampung Bukit Jerok, Jerteh di sini kelmarin.

Kejadian pukul 1 petang itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada kepala, mata, cuping telinga sebelah kiri dan betis kaki kiri. Dia kemudian terpaksa menerima rawatan di Hospital Besut.

Difahamkan, anak lelaki mangsa yang berusia 21 tahun itu mengamuk selepas bapanya tidak menghiraukan pertanyaannya mengenai tempat letak gelas selain memarahi dan menghalaunya.

Tindakan si bapanya itu menyebabkan suspek bertindak ganas dengan memukul warga emas itu menggunakan botol kaca pada kepala mangsa sehingga botol itu pecah.

Selepas itu, suspek dikatakan hanya membiarkan bapanya menahan kesakitan.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria memberitahu, mangsa kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian yang menimpanya sebelum suspek kemudian ditahan di rumah tersebut.

“Pihak polis juga menemui botol yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut.

“Ujian air kencing mendapati suspek positif mengambil dadah jenis syabu,” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.